AM

Keyakinan Terhadap MTD Masih Tinggi, Terima Hampir 4,000 Permohonan Kemasukan Tahun Ini

24/02/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Keyakinan rakyat terhadap Maktab Tentera Diraja (MTD) masih tinggi, dengan melihat kepada jumlah permohonan kemasukan yang terus meningkat tahun ini walaupun pelbagai isu mengenai institusi itu telah dibangkitkan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata 3,990 permohonan diterima tahun ini berbanding pengambilan hanya 260 orang, meningkat berbanding 2,200 permohonan tahun lepas.

“Tugas kita di MTD dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), teras asas adalah memastikan pelajar-pelajar ini mempunyai disiplin yang tinggi kerana mereka adalah masa depan kepada sistem ketenteraan dan sistem penjawat awam apatah lagi kepimpinan negara," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada terdapat syarat pemilihan untuk menilai perwatakan pelajar yang memohon menyertai MTD bagi mengelak kejadian buli daripada berulang.

Menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkenaan langkah diambil untuk menghentikan kejadian buli yang membarah secara sistemik di MTD, Adly berkata ATM telah melakukan penambahbaikan bagi menangani masalah itu.

Beliau berkata jurulatih bertugas diarah melaksanakan rondaan berkala dan tidak berkala di blok penginapan selepas 11.30 malam setiap hari, dengan kekerapan setiap dua jam sekali.

Selain itu jumlah kamera litar tertutup (CCTV) juga ditambah daripada 12 kepada 64 unit di kawasan blok penginapan MTD bagi mengawasi dan mengesan aktiviti mencurigakan serta mengadakan sesi pertemuan antara pelajar, pentadbir dan jurulatih bagi mendapat maklumat awal salah laku dalam kalangan pelajar. 

"Sesi ini dilaksanakan bagi mengatasi isu keengganan Putera (pelajar) membuat laporan salah laku, kita di kementerian dan ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin termasuk perbuatan buli. Siasatan akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu terlibat," katanya.

Adly berkata penambahbaikan lain adalah penguatkuasaan Perintah Tetap Putera (PTP) bagi larangan terhadap aktiviti pelanggaran disiplin dan pengasingan blok penginapan bagi Tingkatan Empat dan Lima mulai 2020, bertujuan mengurangkan risiko perkara tidak diingini berlaku.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan