KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- KNM Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS) telah menandatangani perjanjian jual beli serta pemindahan bersyarat dengan NGK Insulators Ltd dari Jepun untuk cadangan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Deutsche KNM GmbH (DKNM) pada harga 270 juta euro (kira-kira RM1.24 bilion).
DKNM adalah anak syarikat tidak langsung yang dimiliki sepenuhnya oleh KNM yang telah diperbadankan di Jerman. Melalui anak-anak syarikatnya iaitu Borsig GmbH, yang dimiliki penuh dan subsidiarinya, DKNM terlibat dalam pembuatan peralatan proses yang digunakan dalam industri petrokimia serta minyak dan gas.
KNM melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pelupusan itu sedang dilaksanakan bagi membuka kunci nilai kumpulan DKNM untuk mengurangkan kedudukan hutang kumpulan KNM selain menyediakan kumpulan dengan fleksibiliti aliran tunai yang lebih besar bagi memacu kumpulan ke hadapan.
Setakat 30 Sept 2024, jumlah pinjaman KNM Group berada pada RM1.27 bilion, dengan nisbah penggearan sebanyak 3.94 kali.
“Kumpulan itu telah memperuntukkan RM1.20 bilion daripada hasil pelupusan yang dicadangkan sebagai pembayaran balik kepada pemiutang selain mengurangkan pinjaman sedia ada, yang hutangnya ditanggung untuk pembiayaan projek, pelaburan modal dan modal kerja," katanya.
KNM dalam satu kenyataan berasingan berkata pelupusan itu menandakan langkah strategik oleh KNM sebagai sebahagian daripada pelan pengawalan yang lebih luas bagi menangani klasifikasinya sebagai penerbit Nota Amalan 17 (PN17) di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.
Hasil daripada pelupusan, secara proforma, dijangka dapat mengurangkan jumlah pinjaman kumpulan kepada kira -kira RM15.05 juta, meningkatkan nisbah penggearan kepada lebih kurang 0.04 kali.
“Berikutan pelupusan tersebut, kumpulan akan menumpukan usaha terhadap perniagaan terasnya dalam pembuatan peralatan proses, yang kini beroperasi melalui KNM Process Systems Sdn Bhd.
“Syarikat merancang untuk memperluaskan operasi di Malaysia, dengan memanfaatkan kepakarannya dalam merancang serta menghasilkan peralatan proses untuk industri minyak dan gas, petrokimia termasuk baja,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ravindrasingham Balasingham percaya bahawa dengan tumpuan kepada perniagaan fabrikasi pemprosesan peralatan akan memacu nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan.
“KNM mempunyai rekod prestasi yang sangat mantap dalam sektor ini, dan dengan sokongan kewangan yang tepat, kami dapat mengejar peluang di Malaysia dan secara serantau dengan lebih agresif, memandangkan kami sudah mempunyai kedudukan yang kukuh dalam industri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial