AM

Banjir Di Arena Kepayang: Polis Tempatkan Balai Bergerak Mudahkan Penduduk Buat Laporan

02/12/2024 07:33 PM

IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Balai polis bergerak ditempatkan di Arena Kepayang Putra, Fair Park, di sini bermula hari ini bertujuan memudahkan penduduk membuat laporan berkaitan banjir tanpa perlu hadir ke balai polis.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata kemudahan itu membolehkan kira-kira 600 penduduk terjejas membuat laporan berkaitan kerugian atau masalah lain yang timbul akibat bencana itu.

“Kita akan tempatkan balai polis bergerak bermula hari ini sehingga selesai (masalah banjir).

“Kita juga akan minta sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) ke sini bagi tujuan menguar-uar kepada penduduk berhubung kemudahan disediakan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Arena Kepayang Putra di sini hari ini.

Semalam, ratusan penduduk terjejas teruk akibat banjir yang berpunca daripada hujan berterusan mengakibatkan limpahan air Sungai Kinta mengalir ke kawasan perumahan itu, menyebabkan hampir kesemua rumah dimasuki air hingga lebih satu meter.

Susulan kejadian itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata punca banjir berkenaan akan diteliti dan langkah penyelesaian akan diambil bagi memastikan kejadian disifatkan terburuk pernah berlaku sejak 30 tahun itu tidak berulang.

Selain itu, Zulkafli berkata anggota polis bahagian tugas am Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta turut akan ditempatkan di kawasan perumahan terbabit esok, bagi membantu melancarkan proses pembersihan.

“Kita juga minta supaya pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut serta dalam proses pembersihan rumah penduduk terutama membabitkan hal sampah sarap yang banyak terdapat di kawasan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan