AM

Jumlah Kutipan Zakat Belum Cukup Tampung Keperluan Asnaf - PPZ-MAIWP

24/12/2024 11:20 AM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada tahun ini berdepan dengan cabaran besar apabila jumlah kutipan zakat belum mencukupi untuk menampung keperluan miskin bandar dan asnaf yang terdapat di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata setakat ini sebanyak RM1.02 bilion telah diagihkan untuk membantu golongan memerlukan dan bilangan itu terus meningkat, sedangkan kutipan zakat baru mencecah RM909.99 juta.

“Maknanya dari segi agihan kini lebih tinggi daripada jumlah kutipan, tetapi MAIWP membantu 34,000 keluarga setiap bulan.

“Sebab itu duit zakat yang kami kutip ini masih belum cukup dan kami masih perlu menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam untuk tampil menunaikan kewajipan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam, zakat dapat membantu menangani isu kemiskinan bandar, khususnya di ibu negara.

Menerusi zakat katanya, ia boleh berfungsi sebagai wadah untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan membantu mereka yang memerlukan.

“(Selain itu) Agihan zakat melalui institusi zakat lebih adil, menyeluruh dan berfokus kepada keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, dan pekerjaan sekali gus membantu golongan miskin untuk keluar daripada kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Justeru saya seru mereka yang berpendapatan lebih atau telah cukup syarat wajib perlu menunaikan tanggungjawab zakat kerana dalam rezeki kita ada hak asnaf atau mereka yang memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, berbaki kurang dua minggu sebelum memasuki 2025, Abdul Hakim menyeru masyarakat Islam yang belum menunaikan zakat untuk berbuat demikian selewat-lewatnya 31 Dis bagi merebut peluang memenangi hadiah menunaikan umrah.

“Kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum. Bermula pada 23 hingga 31 Dis, kaunter akan dibuka hingga 9 malam, atau lebih mudah bayar menerusi portal www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat dan perbankan Internet,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan