KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Perikatan Komuniti Selamat mencadangkan pengukuhan keselamatan digital serta mengenakan hukuman lebih berat antara langkah utama untuk membendung peningkatan kes kanak-kanak hilang dan penderaan seksual.
Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu ini memerlukan tindakan segera memandangkan statistik mendedahkan ramai kanak-kanak hilang berisiko menjadi mangsa eksploitasi termasuk pemerdagangan orang dan penderaan seksual.
“Trend membimbangkan ini mencetuskan ancaman serius kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak kita - golongan paling rentan dalam masyarakat. Setiap kanak-kanak berhak hidup dalam suasana yang bebas ketakutan, bahaya dan eksploitasi.
“Kehilangan setiap kanak-kanak ialah satu tragedi menyedihkan buat keluarga mereka dan membimbangkan masyarakat. Penderaan seksual kanak-kanak, sama ada dilakukan oleh individu tidak dikenali atau dikenali adalah jenayah keji yang meninggalkan kesan jangka panjang dari segi psikologi dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata adalah penting memperkukuh langkah keselamatan siber bagi mengesan dan membanteras aktiviti haram, memandangkan ramai pemangsa beroperasi dalam talian.
Selain itu, ibu bapa juga perlu diberikan pendedahan mengenai cara yang lebih berkesan untuk memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Beliau juga menyeru pelaksanaan pendidikan seks yang komprehensif dengan sekolah melaksanakan program yang sesuai dengan peringkat umur bagi mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan sempadan peribadi, mengenal pasti tingkah laku yang tidak sesuai, dan melaporkan penderaan tanpa rasa bimbang.
Semua institusi termasuk sekolah, organisasi keagamaan, dan pusat rekreasi perlu mengamalkan protokol laporan mandatori untuk kes yang disyaki penderaan kanak-kanak.
Talian bantuan dan platform digital untuk laporan tanpa nama perlu dipromosikan secara meluas manakala undang-undang melindungi kanak-kanak mesti diperketat dan dikuat kuasa dengan lebih tegas.
“Mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelaku penderaan seksual kanak-kanak dan pemerdagangan orang.
“Selain itu, agensi penguatkuasaan undang-undang perlu dilengkapi dengan alat dan latihan yang lebih baik bagi memastikan kanak-kanak yang hilang dapat dijumpai dengan cepat, dan lebih peka ketika mengendalikan kes penderaan,” katanya.
Lee berkata kesedaran masyarakat terhadap isu-isu ini perlu dipertingkatkan, mendidik ibu bapa, penjaga, dan pengasuh mengenai risiko dihadapi oleh kanak-kanak serta dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda pengantunan atau penderaan.
Penyertaan masyarakat di semua peringkat seperti program rondaan kejiranan dan komuniti serta inisiatif sukarela perlu digalakkan kerana boleh menjadi barisan pertama dalam melindungi kanak-kanak.
Lee turut menyentuh mengenai keperluan pembiayaan mencukupi untuk rumah perlindungan, perkhidmatan kaunseling, dan program pemulihan.
“Kami menggesa semua pihak berkepentingan - ibu bapa, pendidik, pembuat dasar, penguat kuasa undang-undang dan masyarakat - bersama-sama mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk kanak-kanak. Kita tidak boleh berputus asa dalam usaha melindungi maruah kanak-kanak dengan itu kita juga melindungi masa depan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial