GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang masih kekurangan bilik hotel untuk menampung jumlah kemasukan pelancong asing dan domestik yang semakin bertambah, khususnya ketika musim perayaan dan penganjuran acara besar di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Mutiara itu kini mempunyai lebih kurang 12,000 bilik hotel dan memerlukan lebih banyak lagi hotel, khususnya di kawasan Seberang Perai untuk menawarkan tempat penginapan kepada pelancong.
“Saya rasa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai sayap pembangunan ekonomi negeri ada rancangan untuk kemudahan hotel dan kita menawarkan satu peluang kepada bidang perhotelan untuk melabur di sini.
“Saya juga difahamkan NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara) juga menawarkan insentif kepada pihak swasta dalam bidang pelancongan dan hospitaliti, bukan sekadar industri pembuatan, justeru saya berharap peluang ini dapat disahut oleh pihak swasta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan awal Iconic Marjorie Hotel di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Beliau juga memaklumkan Pulau Pinang menerima 6.18 juta pelancong domestik dan asing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dari Januari sehingga Oktober 2024, mengikut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Beliau berkata angka berkenaan menunjukkan peningkatan 7.46 peratus kemasukan pelancong menerusi PIA jika dibandingkan pada tahun lepas bagi tempoh yang sama.
Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri menaruh keyakinan tinggi bahawa sektor pelancongan di negeri itu akan semakin rancak bagi tempoh dua atau tiga tahun lagi susulan pengecualian visa kepada pelancong dari China dan India selain penambahan penerbangan terus ke Pulau Pinang daripada beberapa bandar utama negara lain.
Selain itu, beliau berharap pelancongan dari segi mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) juga bertambah berikutan pembukaan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dengan keluasan kira-kira 76,000 kaki persegi pada tahun depan yang bakal menjadi lokasi pilihan pelbagai acara di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha untuk menambah baik kemudahan dari segi hospitaliti, tempat makan dan rekreasi akan terus dipergiatkan agar dapat memberi pengalaman manis kepada pelancong.
Mengenai Iconic Marjorie Hotel, Chow berkata pembukaan hotel kerjasama Iconic Group dan Marriot International itu akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi tempatan dan menawarkan peluang pekerjaan.
“Ini akan memberi kesan baik kepada industri hospitaliti kerana ia akan menarik lebih ramai pengembara dan eksekutif perniagaan ke Pulau Pinang. Pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti akan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan,” katanya.
Hotel bertaraf lima bintang dengan 298 bilik itu mengangkat budaya Baba Nyonya Pulau Pinang menerusi seni bina dan falsafah reka bentuknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial