AM

Tun Musa Aman Lafaz Sumpah Yang Dipertua Negeri Sabah

01/01/2025 03:34 PM

KOTA KINABALU, 1 Jan (Bernama) -- Tun Musa Aman melafazkan sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.

Musa yang diiringi isteri Toh Puan Faridah Tussin sebelum itu tiba di Dewan Istiadat pada jam 10.11 pagi, sebelum melafazkan sumpah jawatan itu kira-kira pukul 10.22 pagi.

Beliau kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, sebelum Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan ucapan tahniah dan melafaz ikrar taat setia.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu Jaafar kemudian membacakan doa memohon kesejahteraan negeri di bawah naungan Musa, sebelum Yang Dipertua Negeri Sabah itu meninggalkan istiadat pada jam 10.43 pagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.

Pada 17 Dis, Musa menerima watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan