PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Kerajaan tidak akan mendedahkan kepada umum butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang membincangkan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang juga seorang daripada ahli dalam Lembaga Pengampunan berkata minit mesyuarat adalah sulit.
“Jadi kita tak boleh buat perkara itu (minit mesyuarat) open lah ya. Itu hanya hak Lembaga Pengampunan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyarankan kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum, bagi menghentikan spekulasi berhubung dokumen tambahan yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Shamsul Iskandar dilaporkan berkata pendedahan minit mesyuarat itu bagi memberi penjelasan sebenar mengenai dokumen tambahan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial