Oleh Hasnah Junid & Nur Natasha Aida Ismail
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Tahun Ular Kayu pada 2025 adalah tahun kedua dalam kitaran 'feng shui’ yang berlaku sekali dalam tempoh 180 tahun, bermula pada 29 Jan ini dan dijangka membawa kegembiraan, tenaga positif dan kemakmuran berlipat ganda.
Pakar feng shui dari Good Feng Shui Geomantic Research Master Kenny Hoo menyifatkan 2025 sebagai ‘tahun pengumpulan’ yang dilihat mampu menjadi titik tolak dalam meraih banyak unsur atau ‘qi’ (getaran) positif seperti kemewahan dan kemeriahan.
“Tahun ini merupakan Tahun Ular berunsur kayu, macam ular yang turun naik…ada orang rasa was-was, dibanding dengan Tahun Naga yang memberi tuah. Sebenarnya tahun ini juga satu tahun yang membawa kemeriahan dan kemewahan kepada semua orang, misalnya ada industri tertentu memasuki tahap dan lembaran baharu lebih baik.
“Tetapi yang penting kita mesti tahu seimbangkan diri atau mengambil pendekatan akumulatif khususnya dalam membuat sesuatu perkara atau keputusan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dari sudut ekonomi, Tahun Ular diramal mampu membawa peluang besar terutamanya bagi sektor industri berunsur kayu, pelancongan perubatan, logam, hartanah, sektor kreatif serta inovasi dan teknologi.
Perkara ini, Hoo berkata sudah pasti dirangsang dengan penyertaan Malaysia dalam BRICS pada tahun lepas.
“Selepas Malaysia menjadi anggota BRICS, ia menyempurnakan orde baharu dunia, dari segi ekonomi ia akan jadi sangat baik pada 2025,” katanya.
Bersesuaian dengan istilah akumulatif yang diberikan pada tahun ini, Hoo berkata pada Jun, Julai, September dan Oktober dijangka memberikan lebih banyak impak positif.
“Pada bulan-bulan ini, trend yang lebih baik dijangka diperoleh yang akan memberikan kegembiraan, kemewahan dan ketenangan, jadi pada masa ini digalakkan untuk membuat perkara baharu atau juga boleh membuat keputusan besar.
“Kalau dari segi cabaran pula, kita lihat Februari, Mei, Ogos dan November akan memberi cabaran yang besar, jadi pada waktu begini kita kekal tenang dan sabar, kumpul segala ilmu dan tenaga supaya kita dapat pastikan kesihatan kita kekal terjaga…kita buatlah rujukan silang kerana ia juga sebahagian daripada pengurusan risiko,” katanya.
Dari aspek kesihatan, Hoo berkata orang ramai harus menjaga tahap kesihatan dan menguatkan sistem imun mereka bagi menghindari penyakit khususnya pada Mac, September dan Disember.
Beliau turut menjangkakan di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara dan selatan, sektor hartanah akan lebih berkembang khususnya yang melibatkan industri berteknologi tinggi.
Mengulas mengenai tafsiran tahun pengumpulan atau “accumulation year” yang dipilih tahun ini, beliau berkata ia adalah berdasarkan ramalan atau jangkaan terhadap trend yang akan berlaku pada tahun ini.
“Setiap tahun di Good Feng Shui Group saya akan memilih satu perkataan bagi mewakili apa akan berlaku atau apa yang kita ramalkan akan berlaku terutamanya dari segi trend perniagaan, kewangan, ekonomi, kesihatan dan seumpamanya,” katanya.
Sementara itu, peniaga dalam talian yang hanya ingin dikenali sebagai Endrea berkata setiap tahun menjelang Tahun Baharu Cina, beliau akan menghasilkan hiasan bawang putih buatan sendiri (DIY) yang dipercayai dapat menarik ‘ong’ dalam perniagaan serta melancarkan rezeki sepanjang tahun.
“Kalau ikutkan bukan semua orang Cina percaya benda ini, hanya mereka yang percaya pada feng shui sahaja akan buat hiasan DIY ini, saya buat sebab tengok kakak ipar saya turut mengamalkan kepercayaan ini dan turut menjual hiasan bawang putih secara dalam talian.
“Setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, saya akan buat hiasan yang baharu dan gantungkan di tempat tinggi di bahagian dapur rumah,” katanya.
Endrea berkata hiasan bawang putih yang dibuatnya itu menggunakan 12 biji bawang putih yang dicatkan dengan warna kuning keemasan sebelum dibalut dengan kain organza berwarna merah.
“12 biji bawang putih yang digunakan juga ada maksud, ‘liu’ dalam bahasa Cina ialah enam, jadi kita bahagikan 12 biji bawang putih itu tadi kepada dua bahagian iaitu setiap bahagian ada enam biji bawang putih.
“Hiasan ini yang menggunakan bawang putih disebut sebagai ‘suan’ dalam bahasa Cina dan ‘suan’ juga bermaksud kira, jadi kita umpamakan hiasan ini seperti kita pandai kira dan segala urusan perniagaan senang dan murah rezeki,” katanya.
Tambahnya, terdapat tarikh dan waktu tertentu untuk menggantung hiasan berkenaan iaitu pada 22 hingga 28 Jan sekitar 7 pagi hingga 11 pagi tetapi setiap hari dalam tempoh itu berbeza waktu untuk menggantung hiasan tersebut.
Endrea berkata bawang hiasan tersebut turut dijual di kedai dengan pelbagai rekaan yang lebih menarik tetapi demi kepuasan lebih suka untuk menghasilkannya sendiri.
“Kalau beli di kedai harga sekitar RM70 hingga RM100 bergantung kepada rekaan tetapi kalau nak beli secara dalam talian boleh beli di Facebook kakak ipar saya Ling Ling, banyak rekaan menarik yang ditempah pelanggan untuk Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial