KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Syarikat subsidiari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan distruktur semula melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penutupan syarikat yang tidak berdaya maju serta membebankan akaun kumpulan NAFAS juga akan dilaksanakan.
Beliau berkata perkara itu merupakan antara lapan strategi dan hala tuju dalam merangka penambahbaikan NAFAS bagi memastikan pertubuhan itu dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.
“Kajian semula terhadap perniagaan dan projek semasa, turut akan dilaksanakan bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai strategi pembaharuan menyeluruh untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli di samping memantapkan pengurusan serta operasi NAFAS.
Menjawab soalan tambahan Ronald berhubung isu edaran baja yang masih tertunggak di beberapa negeri, Arthur memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan NAFAS.
Menurutnya, jawatankuasa khas ini juga akan merangka cadangan pelan perniagaan NAFAS bagi tempoh lima tahun akan datang
Sebelum ini NAFAS telah digantung perlembagaannya berkuat kuasa 1 Nov 2024 kerana kepentingan am peladang itu sendiri dan sehingga kini semakan serta siasatan ke atas tatakelola dan tadbir urus NAFAS telah selesai dilaksanakan bagi mengenal pasti dan menambah baik pelaksanaan operasi serta pengurusan NAFAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial