JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedia menjadi peneraju pembangunan bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) negara khususnya melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT).
Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata pihaknya sedia berkongsi kepakaran bidang AI dengan semua IPT awam dan swasta bagi menyokong hasrat kerajaan melakukan transformasi digital selari dengan keperluan negara.
Beliau berkata usaha itu penting kerana teknologi AI merentas semua sektor dan kepakaran yang akan menjadikannya keperluan asas pada masa depan.
“Pada Disember tahun lepas, UTM telah menjemput semua universiti awam tempatan menerusi satu seminar pembangunan bakat AI untuk berkongsi pengalaman agar mereka turut sama membangunkan bidang ini di universiti masing-masing.
“UTM sedang membangunkan satu sistem komputeran AI berprestasi tinggi dan terbaik untuk kegunaan pelajar universiti ini dan universiti lain yang mampu mempercepatkan penyelidikan dan pengkomersialan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan perutusan sulung selaku Naib Canselor UTM baharu di sini hari ini.
Beliau berkata UTM bukan sahaja memfokuskan pembangunan bidang AI dalaman tetapi pensyarah universiti itu turut menyumbang kepakaran berkaitan melalui penglibatan dalam aktiviti komuniti.
Penubuhan Fakulti AI di UTM diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024 lepas, dan pihak UTM berjaya menubuhkan fakulti berkenaan dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan pengambilan pertama pada 29 Sept tahun lepas membabitkan 126 pelajar sepenuh masa.
Mengulas mengenai isu ketidakpadanan graduan dengan pasaran pekerjaan, Mohd Shafry berkata UTM mempunyai acuan tersendiri dalam melahirkan graduan dengan modal insan yang menepati kehendak pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.
“Sudah tiga tahun berturut-turut kita mengekalkan peratusan kebolehpasaran graduan pada tahap 99 dan 100 peratus. Bagaimanapun cabaran ketika ini, adalah meningkatkan pendapatan premium graduan tempatan.
“Strategi yang diguna pakai untuk mencapai matlamat itu termasuk IPT perlu tingkat kerjasama dengan syarikat multinasional, graduan diberi kemahiran bersesuaian serta meningkatkan pengalaman pembelajaran selari dengan keperluan majikan,” katanya.
Terdahulu dalam perutusannya, Mohd Shafry berkata data graduan 2023 menunjukkan UTM mencatatkan peratusan tertinggi graduan ljazah Pertama dengan kebolehpasaran premium peringkat nasional iaitu 18.5 peratus dan trend itu konsisten selama tiga tahun berturut-turut.
“Kejayaan ini hasil daripada kurikulum relevan dan ekosistem pembangunan pelajar yang dirancang teliti, sejajar dengan Dasar Kerajaan MADANI yang mengutamakan tenaga kerja berkualiti dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Menerusi perutusan bertemakan 'UTM Sanjungan Bangsa: Memperkukuh Kewibawaan Institusi' itu, Mohd Shafry turut menggariskan lima fokus utama yang akan menjadi teras kepada hala tuju universiti penyelidikan berkenaan pada tahun ini.
Beliau berkata lima fokus itu adalah Institusi Kepemimpinan Naib Canselor, Menyubur Jiwa UTM, Memperteguh Kepercayaan Institusi, Menyempurnakan enVision UTM 2025 dan Budaya Hikmah dan Sejahtera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial