KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pengilang diminta memaklumkan kepada pekerja mereka mengenai inisiatif terkini Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam mempermudah proses rawatan perubatan bagi pekerja yang mengalami kecederaan berkaitan pekerjaan.
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata menerusi inisiatif ini pekerja tidak perlu membayar kos rawatan terlebih dahulu ketika mendapatkan rawatan di klinik panel PERKESO.
“FMM menyokong penuh penambahbaikan ini yang memudahkan akses kepada penjagaan perubatan, mengurangkan beban kewangan pekerja dan memastikan rawatan diberikan tanpa sebarang kelewatan.
“Menerusi susunan baharu ini, pekerja boleh menerima rawatan di mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara tanpa perlu membayar terlebih dahulu kerana klinik akan menuntut kos rawatan secara langsung daripada PERKESO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebelum ini, pekerja terpaksa membayar kos rawatan perubatan mereka terlebih dahulu biasanya antara RM150 dan RM200 setiap lawatan dan kemudian menuntut semula bayaran tersebut daripada PERKESO.
“Ini juga membantu pekerja memberikan tumpuan kepada pemulihan sambil meminimumkan gangguan kerja, yang akhirnya memberikan manfaat kepada pekerja dan majikan. Penambahbaikan ini selaras dengan komitmen FMM untuk memperjuangkan dasar yang mengimbangi kebajikan pekerja dengan keperluan industri,” katanya.
Soh berkata akses yang cepat dan mudah kepada rawatan perubatan membolehkan kesihatan di tempat kerja diuruskan dengan lebih baik, pada masa sama memastikan tenaga kerja selamat dan produktif.
“FMM berharap dapat terus bekerjasama dengan PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertingkatkan skim perlindungan pekerja yang memberi manfaat kepada pekerja dan majikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial