AM

Nelayan Perlu Guna Teknologi Tangkapan Mesra Alam, Kurangkan Tekanan Ke Atas Stok Ikan - DOF

10/02/2025 10:23 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Komuniti nelayan perlu menggunakan teknologi penangkapan mesra alam serta mematuhi musim larangan menangkap ikan dan had saiz tangkapan yang ditetapkan, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata langkah itu, bagi mengurangkan tekanan ke atas stok ikan dan memberi peluang kepada spesies marin untuk membiak dan berkembang.

Adnan berkata Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) secara aktif membangun dan mempromosikan peralatan penangkapan ikan yang mengurangkan impak terhadap ekosistem marin, seperti pukat tunda yang dilengkapi alat penghalang penyu (TED).

Beliau berkata TED direka untuk memastikan penangkapan spesies sasaran sahaja, selain meminimumkan tangkapan sampingan yang tidak diingini.

“Program latihan dan kesedaran dijalankan untuk mendidik nelayan mengenai kepentingan penggunaan peralatan penangkapan mesra alam. Jabatan juga menyediakan sokongan teknikal dan insentif kepada komuniti nelayan untuk beralih kepada peralatan yang lebih lestari,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini terdapat 112,344 orang nelayan berdaftar di seluruh negara.

Selain itu, Adnan berkata penguatkuasaan peraturan perikanan yang ketat dikuatkuasakan, untuk melarang penggunaan alat penangkapan yang merosakkan seperti bubu naga dan DOF bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memastikan pematuhan undang-undang berkenaan dalam kalangan nelayan.

Adnan berkata teknologi seperti sistem pengesanan kapal (VMS), digunakan untuk memantau aktiviti penangkapan ikan secara masa nyata bagi membantu mengenal pasti dan mengawal aktiviti yang tidak lestari. 

“DOF juga mempromosi penggunaan teknologi seperti sonar, pemerum gema dan GPS untuk membantu nelayan mengenal pasti lokasi ikan tanpa menangkap secara berlebihan, seperti penggunaan teknologi Sistem Pengenalan Ikan (FSI),” katanya.

Adnan berkata komuniti nelayan memainkan peranan penting dalam menyokong objektif DOF dalam pemuliharaan dan pengurusan stok ikan, memandangkan kumpulan itu sering terlibat dalam pengurusan kawasan perikanan, termasuk zon perlindungan marin (MPA) selain membantu memantau aktiviti perikanan dan memastikan pematuhan terhadap peraturan pada tahap yang tinggi.

“Nelayan tempatan berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ di laut. Mereka membantu melaporkan aktiviti perikanan haram, penggunaan alat tangkapan tidak sah atau ancaman lain terhadap stok ikan kepada pihak berkuasa, sekali gus menyokong penguatkuasaan undang-undang perikanan,” katanya.

Adnan berkata DOF turut mempromosikan projek ekonomi alternatif seperti akuakultur dan ekopelancongan marin, bagi mengurangkan kebergantungan nelayan kepada sumber marin dan projek itu menyumbang kepada kelestarian sumber marin dengan mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan tangkapan.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai strategi pengurusan yang efektif, stok perikanan dapat dipulihkan dan dikekalkan pada tahap optimum, selari dengan prinsip pembangunan lestari.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan