KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Proses pemilihan syarikat perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dilaksanakan berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan, bagi memastikan perkhidmatan lebih berkualiti, telus serta kompetitif.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan semua 12 syarikat yang mengemukakan cadangan dalam proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup 31 Okt lepas, telah dinilai mengikut prosedur ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8.
“Pemilihan syarikat adalah berdasarkan garis panduan telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk syarat-syarat kelayakan, prosedur, peraturan dan standard yang dipaparkan di laman web MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024,” menurut MOT dalam kenyataan hari ini.
MOT memaklumkan antara syarat utama perlu dipenuhi syarikat menyertai proses RFP ialah mesti berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta pihak berkuasa tempatan, selain dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sendirian Berhad atau Berhad.
Selain itu, syarikat perlu memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan, mempunyai modal pusingan minimum RM5 juta setahun dan memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran.
“Syarikat berkenaan perlu menyediakan wang deposit atau bon minimum lima peratus daripada nilai modal pusingan, memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar dan berdaftar sebagai ahli Jawatankuasa Pemeriksaan Kenderaan Bermotor Antarabangsa (CITA) dalam tempoh dua tahun dari tarikh pelesenan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, hasil penilaian dibuat Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati tiga syarikat yang terpilih memenuhi sepenuhnya syarat ditetapkan.
Bagi aspek pemilihan lokasi, MOT memaklumkan penetapan dibuat MOT dan JPJ, berdasarkan konsep ‘cross subsidy’ bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah.
“Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi mempunyai volume (jumlah) tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Syarikat terpilih juga perlu memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan, selaras dengan surat tawaran yang dikeluarkan pada Jumaat lepas.
“Pendekatan ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak kerajaan. Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial