KUCHING, 11 Feb (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) berharap kerajaan Sarawak menerusi pihak berkuasa tempatannya memberi sokongan penuh terhadap program Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP) bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya demi manfaat rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman berkata program PUMP bertujuan membangunkan usahawan bumiputera dalam industri penyelenggaraan automotif, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Beliau berkata program itu merangkumi latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan pemantauan berkala daripada MARA dan Petronas.
“Dalam banyak urusan, saya tahu kerajaan negeri sememangnya telah banyak membantu, tetapi adakalanya pihak berkuasa tempatan perlu memberikan sokongan penuh dan memahami bahawa program yang kami lakukan ini adalah untuk kepentingan dan manfaat rakyat Sarawak sendiri,” katanya kepada merasmikan program PUMP peringkat Sarawak di sini hari ini.
Zulfikri berkata kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan dapat mempercepat urusan berkaitan pelaksanaan program PUMP, khususnya dalam aspek pelesenan dan permit bagi membolehkan lebih banyak pusat Petronas AutoExpert diwujudkan di seluruh Sarawak.
“Dengan adanya pemahaman dan kerjasama erat, usaha membuka lebih banyak Petronas AutoExpert di kawasan-kawasan yang ditadbir pihak berkuasa tempatan dapat dipermudah,” katanya.
Dalam pada itu, sejumlah 50 usahawan terpilih menghadiri taklimat dan temuduga program PUMP Borneo peringkat Sarawak di sini hari ini.
Mereka bakal mengikuti program khas yang dilaksanakan secara berstruktur meliputi ekosistem keusahawan MARA iaitu latihan keusahawanan secara berstruktur dan praktikal dengan konsep Teaching Factory, pembiayaan, khidmat nasihat dan bimbingan, serta pemantauan secara berkala.
Program PUMP buat kali pertama diadakan di zon Borneo selepas kejayaan program itu di Semenanjung yang dilaksanakan sejak 2020, dengan sebanyak 54 bengkel PUMP telah beroperasi di beberapa negeri.
Setakat Disember 2024, program ini telah membuka peluang pekerjaan kepada 373 individu dan mencatatkan jualan terkumpul sebanyak RM90 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial