AM

FINAS, JTK Bekerjasama Turun Padang Pantau Pematuhan Syarat Penerbitan Filem, Drama

13/02/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memantau pematuhan kepada syarat-syarat penerbitan filem atau drama di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata ia termasuk melakukan lawatan mengejut terhadap projek-projek filem atau drama di set lokasi penggambaran.

Beliau berkata Ketua Pengarah JTK Kamal Pardi telah menghubungnya semalam, dan menyarankan kerjasama tersebut.

“Kita akan bersama-sama turun padang, lakukan penguatkuasaan dalam beberapa aspek seperti kontrak pekerja, adakah mereka telah mohon permit (untuk mengupah) kanak-kanak sebab permit ini harus melalui JTK, serta isu-isu bayaran kepada kru,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penundaan tayangan filem aksi terbaru, Strike: Silat Cult Master yang sepatutnya ditayang hari ini, berikutan pemilik syarikat produksi Katana Film Sdn Bhd, Mallory Lee dikatakan gagal membuat bayaran kepada kira-kira 50 kru termasuk pelakon filem berkenaan.

Azmir berkata kegagalan Mallory melunaskan bayaran kepada kru terbabit selepas tiga kali perbincangan menyebabkan pihaknya mengeluarkan arahan penangguhan sehingga isu berkenaan diselesaikan. FINAS telah mengarahkan 45 pawagam di seluruh negara menunda tayangan filem tersebut hari ini.

Beliau berkata JTK juga menawarkan FINAS untuk menggunakan khidmat nasihat dan guaman jabatan itu bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan gaji pekerja produksi, kaedah majikan dalam mengurus pekerja dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan