AM

Bekalan Air Belum Pulih, Penduduk Terus Bergantung Air Minuman Berbotol

13/02/2025 08:20 PM

TELUK INTAN, 13 Feb (Bernama) -- Penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air di sini sejak seminggu lepas terpaksa bergantung kepada air minuman berbotol untuk urusan harian sementara menunggu bekalan pulih sepenuhnya.

Seorang penduduk di Taman Banjar Indah Noor Imanina Atiqah Abdullah, 30, berkata keadaan itu menyebabkan bekalan air berkenaan termasuk air mineral kini sukar diperoleh, dengan kebanyakan kedai di sekitar perumahan itu sudah kehabisan stok.

"Malam tadi Lembaga Air Perak (LAP) ada buka semula bekalan air selama lima jam untuk penduduk sini tadah secukupnya. Dapatlah kami gunakan untuk mandi dan sebagainya, tetapi untuk memasak masih terpaksa beli air mineral (air minuman berbotol)," katanya ketika ditemui Bernama hari ini. 

Mohd Fauzi Ibrahim, 48, dari Chenderong Balai berkata beliau terpaksa membeli air minuman berbotol atau air mineral kerana tiada pilihan lain kerana bekalan air paip yang diterima tidak mencukupi untuk kegunaannya sekeluarga.

"Ramai yang datang beli air minuman berbotol di pekan Teluk Intan, yang kesemuanya saya tengok beli dalam jumlah agak banyak daripada pemborong dengan harga sekotak 1.5 liter bernilai RM9, berbanding lebih RM13 di kedai biasa.

"Hari ini pun saya beli lebih 10 kotak air mineral di kedai pemborong, ada penduduk kampung yang kirim sebab memang agak susah hendak dapatkan bekalan air bersih," katanya dan berharap gangguan bekalan air akan pulih segera agar tidak membebankan pengguna, khususnya warga emas dan yang kurang berkemampuan. 

Sementara itu, seorang pemborong Tan Hoi Leong, 62, berkata kedainya menjadi tumpuan orang ramai semata-mata untuk membeli air minuman berbotol dengan bekalan telah ditambah berbanding biasa bagi memenuhi permintaan.

“Saya masih menjualnya pada harga biasa serta tidak hadkan pembelian untuk setiap pelanggan," katanya dan memaklumkan terdapat pelanggan yang datang dari Tapah dan Bidor untuk mendapatkan bekalan. 

Terdahulu, LAP Wilayah Selatan memaklumkan bekalan air dibuka buat sementara sejak 8 malam tadi di beberapa kawasan di daerah Hilir Perak yang mengalami gangguan bekalan sejak seminggu lepas.

Pada Isnin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata gangguan bekalan air yang menjejaskan 50,000 akaun pengguna beberapa kawasan di daerah Batang Padang serta Hilir Perak sejak 6 Feb dijangka pulih berperingkat bermula Selasa.

Mohammad Nizar berkata gangguan bekalan air itu akibat kebocoran paip bawah tanah milik LAP yang mengalirkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bersebelahan Taman Bunga Raya, Tapah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan