EKONOMI

Tingkat Kemahiran, Produktiviti Mampu Lonjak Pendapatan - PM Anwar 

04/03/2025 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Peningkatan produktiviti boleh dicapai menerusi program menambah kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kewujudan pusat kecemerlangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar berkata langkah ini bagi memastikan individu memperoleh lonjakan pendapatan seiring dengan peningkatan produktiviti.

“Syarikat-syarikat yang masuk melabur (ke Malaysia), kita syaratkan mewujudkan pusat kecemerlangan. Ini termasuk Nvidia, Google, Microsoft dan Infineon. 

“Kesemuanya mewujudkan pusat kecemerlangan untuk latihan menambah kemahiran, terutamanya AI. Saya akui AI ini satu pendekatan yang mencabar kerana walaupun kita jadikan ini dasar yang jelas tetapi penguasaannya itu masih terbatas,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang ingin tahu mengenai perancangan kerajaan bukan sahaja untuk menaikkan gaji, malah meningkatkan kadar produktiviti pekerja bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Anwar berkata kerajaan secara tegas dan berani telah menetapkan gaji minimum RM1,700 walaupun tidak dipersetujui oleh sebahagian daripada sektor swasta serta memperkenalkan Skim Gaji Progresif bagi syarikat yang mempunyai rekod, pencapaian dan keuntungan yang tinggi.

“Saya sendiri, selain menteri-menteri lain menemui umpamanya syarikat-syarikat termasuk perladangan yang mencatat keuntungan. Ia haruslah lebih adil supaya jangan umpamanya mencatatkan keuntungan mereka terlalu tinggi, tetapi gaji pekerja tidak setimpal. 

“Kita ada umpamanya kesenjangan di antara kenaikan produktiviti dengan gaji. Jadi ia ada jurang di situ. Kenaikan produktiviti lebih tinggi daripada kenaikan gaji, ditambah pula dengan inflasi... walaupun rendah tetapi kalau gaji tidak naik, inflasi itu akan mengesankan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan