AM

Impak Penetapan Had Umur Penggunaan Media Sosial Perlu Analisis Lebih Teliti - Fahmi

04/03/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Impak penetapan had umur penggunaan platform media sosial di Malaysia perlu analisis lebih teliti, khususnya melibatkan kajian dan penilaian sosial seperti kesan psikologi dan perbezaan akses kepada maklumat serta komunikasi, antara kanak-kanak dan remaja.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata analisis juga perlu dilaksanakan mengenai bagaimana ia akan mempengaruhi perkembangan mereka.

“Ini kerana penggunaan platform media sosial dan pesanan Internet secara meluas dalam kalangan kanak-kanak terutamanya pelajar yang menggunakan platform media sosial, adalah bagi tujuan pembelajaran dan mendapatkan maklumat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk menggubal rang undang-undang bagi menetapkan had umur pemilikan akaun media sosial.

Fahmi berkata ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan sebagai gatekeeper dan mengambil tanggungjawab lebih serius dalam memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

“Mereka perlu peka terhadap pelbagai risiko dalam talian yang boleh membahayakan keselamatan anak-anak dan turut menerokai kandungan serta platform alternatif yang lebih selamat selain daripada media sosial,” katanya.

Fahmi berkata pada masa ini, had umur minimum pengguna media sosial adalah berdasarkan terma dan syarat serta garis panduan komuniti ditetapkan oleh platform-platform media sosial.

Beliau berkata kebanyakannya menetapkan had umur 13 tahun bagi mematuhi peraturan perlindungan data dan keselamatan pengguna seperti digariskan dalam Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak (COPPA) di Amerika Syarikat, dan banyak diikuti oleh negara lain.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa aktif melaksanakan program pendidikan dan advokasi, yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak tentang aspek keselamatan dalam talian.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan Kempen Keselamatan Dalam Talian yang akan melibatkan sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi di seluruh negara, larangan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun untuk memiliki akaun media sosial, merupakan antara fokus utama yang akan diketengahkan.

Fahmi berkata kempen itu dilaksanakan menerusi ceramah, latihan, kolaborasi dengan pempengaruh media sosial, training of trainers dalam kalangan pemimpin pelajar dan penggunaan bahan didik berdasarkan modul-modul khusus yang dibangunkan oleh MCMC mengikut kumpulan umur pelajar.

Beliau berkata perkara itu bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang penggunaan Internet selamat dan supaya tidak menjadi mangsa kemudaratan dalam talian seperti penipuan, berita palsu, love scam, buli siber serta judi dalam talian.

Menjawab soalan tambahan Robert mengenai pelan tindakan untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi termasuk transaksi kewangan dan komisen media sosial, Fahmi berkata terdapat beberapa perkara dilaksanakan termasuk melalui Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial dibangunkan MCMC, yang diterbitkan pada 20 Dis 2024.

Beliau berkata semua penyedia platform perlu menerima pakai Kod Tatalaku yang turut meliputi langkah-langkah keselamatan kanak-kanak dalam ruang media sosial dalam memastikan aspek keselamatan bagi kanak-kanak diutamakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan