AM

Dasar Projek Ladang Solar, Infrastruktur Nuklear Antara Tumpuan Sidang Dewan Rakyat Hari Ini

05/03/2025 08:09 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Dasar dalam memperkembang projek ladang solar dan pembangunan infrastruktur nuklear, antara isu yang dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan dasar kementerian dalam memperkembang projek-projek ladang solar melalui penggunaan tasik semula jadi dan lombong sedia ada, pada sesi soal jawab. 

Selain itu,  P. Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu) pula meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan kerjasama kementerian dengan negara-negara maju dalam teknologi tenaga nuklear seperti Perancis atau Jepun bagi membantu Malaysia membangunkan infrastruktur nuklear sebagai alternatif kepada sumber tenaga yang selamat dan efisien

Pada sesi sama, Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai usaha yang sedang dilaksanakan oleh kementerian untuk memastikan bekalan air bersih disalurkan ke sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang belum mempunyai akses air bersih.

Beliau juga ingin tahu langkah-langkah konkrit yang diambil untuk menangani isu itu serta jangka masa pelaksanaannya. 

Usai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Perdana Menteri dijangka menggulung perbahasan berkenaan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan