KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Sebanyak 337 aduan konflik hidupan liar di Gua Musang, Kelantan, diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada tahun lepas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 218 aduan melibatkan konflik berkaitan gajah manakala 47 aduan berkaitan harimau.
“Perhilitan telah mengambil beberapa tindakan bagi menangani konflik manusia-hidupan liar yang melibatkan gajah dan harimau di Gua Musang. Ini termasuklah 306 kali kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik yang terletak di habitat hidupan liar.
“Memasang 15 unit perangkap apabila kita terima aduan konflik harimau serta menjalankan 10 kali operasi tangkap-pindah yang melibatkan gajah dan membina dua unit sistem pagar elektrik gajah di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Orang Asli Pos Aring 5, bagi mengelak kemasukan gajah liar ke kawasan penempatan dan kebun penduduk,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang ingin tahu tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan di Jajahan Gua Musang, Kelantan memandangkan beberapa orang maut akibat gajah dan harimau kebelakangan ini di kawasan tersebut, yang menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan, selain banyak tanaman dirosakkan gajah yang berkeliaran.
Nik Nazmi berkata pihaknya juga menggalakkan penternak haiwan membina kurungan ternakan dengan lebih kukuh dan menguruskan haiwan ternakan dengan lebih sistematik serta bertanggungjawab bagi mengurangkan konflik hidupan liar.
Beliau berkata kerajaan telah menyalurkan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT), bantuan kewangan secara sekali beri, kepada 246 pemohon dengan peruntukan sebanyak RM978,000 pada tahun lepas.
“Namun begitu, tanpa diambil tindakan menyeluruh, kita tidak akan dapat menyelesaikan isu konflik hidupan liar ini. Punca kepada pemasalahan ini disebabkan habitat hidupan liar yang sering terganggu akibat daripada penerokaan kawasan hutan.
“Sehubungan itu, bermula tahun 2019 kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) bagi menggalakkan kerajaan negeri mengukuhkan pengurusan dan menambah kawasan perlindungan,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, sejumlah RM800 juta telah diperuntukkan kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan EFT sejak tahun 2019, iaitu sebanyak RM60 juta pada tahun 2019, RM70 juta masing-masing pada tahun 2021 dan 2022, RM150 juta pada tahun 2023, RM200 juta pada tahun 2024 dan pada tahun ini sebanyak RM250 juta.
Melalui pelaksanaan EFT, Nik Nazmi berkata dalam tempoh 2021 hingga 2023, hampir 15,000 hektar kawasan baharu telah diwartakan sebagai hutan simpan dan rizab hidupan liar di Semenanjung melibatkan negeri Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu dan Negeri Sembilan.
“Walau bagaimanapun, Kelantan tidak termasuk dalam pelaporan pewartaan kawasan baru ini walaupun Kelantan telah menerima peruntukan EFT. Sehubungan itu, saya berharap Kelantan dapat menambah kawasan perlindungan bagi membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah konflik hidupan liar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial