AM

Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 11 Mac

11/03/2025 09:49 PM

LEBIH 400,000 GURU JALANI PENGESANAN PENILAIAN KOMPETENSI DIGITAL SETAKAT 31 DIS

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Seramai 403,618 orang guru telah menjalani pengesanan tahap kompetensi digital setakat 31 Dis 2024, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata berdasarkan keputusan yang diperoleh, kementerian mendapati bahawa 23.9 peratus guru berada pada tahap kompetensi digital asas, manakala 74.3 peratus lagi berada pada tahap pertengahan, dan hanya 1.8 peratus pada tahap lanjutan.

“Latihan berkaitan pendidikan digital telah diberikan secara berterusan kepada guru. Sehingga 31 Dis 2024, seramai 1,410 guru telah memperoleh pensijilan profesional dan diiktiraf sebagai Pasukan Pakar JAUHARI KPM,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Amir Md Ghazali mengenai tahap kompetensi digital guru-guru dan langkah kementerian dalam memastikan kemahiran digital guru terus diperkasa.

Menurut Wong, kerjasama strategik dengan rakan industri seperti Microsoft, Google, dan Apple turut memberi tumpuan kepada kepakaran digital, dengan penyediaan latihan khusus bagi meningkatkan kemahiran guru.

-- BERNAMA

 

KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN PROJEK TRANS-BORNEO RAILWAY DIJANGKA SELESAI TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) – Kajian Kebolehlaksanaan Projek Trans-Borneo Railway bagi menilai kebolehlaksanaan jaringan kereta api di Sabah dan Sarawak dijangka selesai pada 2026, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah

Beliau berkata kajian selama 12 bulan itu merangkumi aspek teknikal, komersial, sosioekonomi serta model pembiayaan projek. Hasil kajian tersebut akan dijadikan asas bagi permohonan projek fizikal dan pembangunan sistem kereta api di kedua-dua negeri berkenaan.

“Kerajaan yakin kajian ini dapat membantu dalam perancangan pembangunan rangkaian kereta api secara lebih objektif, sekali gus menyokong visi meningkatkan ketersambungan serta merancakkan aktiviti logistik antara bandar utama di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan sistem landasan kereta api di Sarawak dan Sabah terutamanya di antara bandar-bandar utama.

-- BERNAMA

 

35 PROJEK PPR DIBINA DI SABAH, PENGISIAN CAPAI 95.2 PERATUS SETAKAT FEB 

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 35 projek Program Perumahan Rakyat (PPR)  telah dibina di Sabah, dengan penyerahan sebanyak 23,598 unit untuk tujuan pengisian setakat ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata setakat 28 Feb 2025, pengisian PPR di Sabah telah mencapai 95.2 peratus atau 22,461 unit. 

“Kesemua 35 projek PPR ini adalah di bawah kaedah disewa. PPR di Sabah diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan pengurusannya meliputi urusan pengisisan, permohonan dan pengurusan PPR itu sendiri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian tentang kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengatasi kelewatan proses permohonan PPR .

Aiman Athirah berkata bagi menangani kelewatan proses permohonan PPR, kementerian telah memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri termasuk KKTP Sabah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepatkan proses permohonan dan penyerahan unit PPR kepada pemohon yang layak. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan