AM

APM Buka Peluang Sukarelawan Jepun Timba Pengalaman Di Malaysia

12/03/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuka peluang kepada sukarelawan dari Jepun dalam bidang perkhidmatan kecemasan perubatan dan operasi menyelamat untuk menimba pengalaman di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Abdul Wahab Rahim berkata inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Connecting Worlds Institute of Japan, sebuah pertubuhan yang dianggotai sukarelawan dalam kalangan pelajar dan orang awam di negara berkenaan.

Beliau berkata melalui kerjasama ini sukarelawan dari Jepun akan ditempatkan di pusat latihan APM di seluruh negara bagi mendalami kemahiran berkaitan perkhidmatan kecemasan dan penyelamatan.

"Pada masa sama, kita juga akan meminta sukarelawan Jepun ini untuk memperkenalkan kepada anggota APM mengenai pertubuhan serupa di negara mereka, yang banyak digerakkan oleh sukarelawan. Hal ini membolehkan anggota kita turut menimba pengalaman di sana," katanya kepada Bernama pada program Lawatan Delegasi Connecting Worlds Institute of Japan di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Kuala Lumpur hari ini. 

Abdul Wahab berkata pertukaran pengalaman dan perkongsian pengetahuan ini akan memperkukuh keupayaan sukarelawan kedua-dua negara dalam bidang perkhidmatan kecemasan perubatan dan operasi menyelamat.

Pada lawatan itu, sebanyak 10 sukarelawan dari pertubuhan itu diberikan taklimat mengenai pengurusan bencana serta operasi APM, selain menyaksikan demonstrasi penggunaan peralatan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Connecting Worlds Institute of Japan Yusuke Takayama berkata pihaknya bersedia menguruskan penempatan anggota APM yang berminat untuk menimba pengalaman di Jepun dalam dua bidang berkenaan.

Takayama berkata beliau akan memaklumkan kepada anggota bomba dan penyelamat di Jepun mengenai peluang yang ditawarkan oleh APM kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Pensyarah Universiti Teikyo dan pernah bertugas secara sukarela sebagai pembantu pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur dari 2010 hingga 2011 itu berkata peralatan operasi menyelamat APM yang dipamerkan dalam demonstrasi hari ini diselenggara dengan baik dan bersedia untuk digunakan dalam situasi kecemasan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan