JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Termasuk Eda Ezrin Pulang Ke Malaysia, Empat Lagi Masih Di Thailand - Bukit Aman

07/08/2025 10:15 PM

PASIR MAS, 7 Ogos (Bernama) – Dua daripada enam rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Thailand atas kesalahan berkaitan dadah termasuk penyanyi dikir barat Eda Ezrin, disahkan telah pulang ke tanah air lewat petang tadi.

Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan, bersama seorang lagi individu, Nur Aida Mamat, 33, kini berada di bawah tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata empat lagi individu masih berada di Thailand kerana menunggu proses pengaktifan pasport sebelum boleh dibawa pulang ke negara ini.

“Kesemua mereka kini sedang diambil keterangan oleh pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama malam ini.

Empat individu yang masih berada di Thailand dikenal pasti sebagai Eridieka Mohd Noor, 33; Zuhaira Nasrin; suami kepada Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta Mohamad Alif Deraman, 33.

Sementara itu, bapa kepada Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, menzahirkan rasa syukur atas kepulangan anaknya ke tanah air.

“Alhamdulillah, akhirnya kerinduan terhadap Eda terubat juga dari hati seorang ayah. Saya hanya mahu bersyukur kepada Allah. Kalau dia bersalah, hukumlah saya sebagai ayah. Tapi kalau dia tak bersalah, kembalikanlah dia kepada kami.

“Biarpun jauh, saya dan ibunya tak pernah putus berdoa. Kami tak mahu kehilangan anak, kami hanya mahu dia diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Balai Polis Rantau Panjang malam ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Balai Polis Rantau Panjang malam ini mendapati ahli keluarga Eda turut menanti proses pelepasan penyanyi berkenaan yang sedang diambil keterangan oleh polis.

Media melaporkan Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda, suaminya dan empat individu lain pada kira-kira 11 pagi waktu Thailand (12 tengah hari waktu tempatan) tadi selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi membuat rayuan terhadap keputusan sebelum ini.

Keenam-enam mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 Nov lepas.

Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak mahkamah pada Rabu.

Terdahulu, Eda dan Nur Aida dibawa keluar dari Sungai Golok, Narathiwat menggunakan van imigresen negara berkenaan pada kira-kira 7 malam selepas selesai proses dokumentasi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan