BERITA TERGEMPAR | Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | |
Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Sidang Dewan Rakyat minggu ketiga menyaksikan tumpuan penuh kepada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tampil membahaskan pelbagai aspek dasar, pelaksanaan dan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Perbahasan tertumpu kepada tiga teras utama RMK13 iaitu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus berkesan, di samping isu rentas sektor seperti pembangunan wilayah, tenaga boleh baharu, perubahan iklim, mobiliti belia, pendidikan, keselamatan siber serta keterangkuman Sabah dan Sarawak dalam kerangka pembangunan nasional.
Sehingga semalam, seramai 78 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu antaranya Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak).
Antara yang dibangkitkan wakil rakyat termasuk pendekatan fleksibel dan berteraskan pilihan berhubung cadangan pembayaran pencen secara bulanan menerusi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penggubalan akta khas bagi pendidikan prasekolah dan dasar ekonomi kreatif negara atau ekonomi jingga yang menyeluruh dan tersusun bagi memacu pertumbuhan sektor itu.
Pada 31 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, dengan pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan RMK13 berlangsung selama lapan hari bermula 4 hingga 14 Ogos, diikuti sesi penggulungan menteri selama empat hari dari 18 hingga 21 Ogos.
Turut mencuri tumpuan sidang Dewan Rakyat minggu ini, sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS) susulan kadar tarif baharu untuk Malaysia sebanyak 19 peratus bermula 1 Ogos, iaitu penurunan enam peratus daripada kadar yang diumumkan AS pada 7 Julai.
Tengku Zafrul menegaskan Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya rundingan bersama AS mengekalkan keunikan dasar negara, malah tidak semua permintaan AS melibatkan aspek perdagangan digital dan teknologi dipersetujui Malaysia.
Bagaimanapun beliau berkata Malaysia perlu terus bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan tarif tambahan dikenakan AS ke atas industri semikonduktor.
Beberapa isu lain turut mendapat perhatian Dewan Rakyat antaranya kes rasuah dan counter-setting melibatkan penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), penyasaran semula subsidi petrol RON95, pertikaian sempadan maritim Malaysia-Indonesia di kawasan perairan Laut Sulawesi, kadar guna tenaga buruh dan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 26 anggota dan pegawai penguat kuasa di KLIA telah dibuang kerja tahun lepas, manakala 50 kes phantom travellers atau “pengembara hantu” telah ditangani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan dua kes kini dalam proses pertuduhan di mahkamah, manakala bakinya sedang melalui pelbagai peringkat siasatan.
Bagi isu MLFF, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pelaksanaan sistem itu tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan dan perkara itu merupakan hala tuju baharu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menjelaskan bahawa enam Ahli Parlimen yang juga bekas ahli Bersatu, masih ditakrifkan sebagai wakil rakyat daripada blok pembangkang kerana tiada pengesahan rasmi mengenai perubahan kedudukan mereka walaupun telah menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial