SUKAN

Harimau Kumbang Jalani Persiapan Rapi, Sasar Tiga Mata Penuh - Kapten

09/08/2025 11:44 AM

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama)  -- Kapten Penang FC, Stefano Brundo, menyatakan keterujaannya menjelang pertemuan menentang Terengganu FC dalam aksi pembukaan Liga Super 2025/2026 di Stadium Bandaraya, malam esok.

Pemain pertahanan kelahiran Argentina itu berkata, pasukan Harimau Kumbang telah menjalani persiapan rapi sepanjang pramusim dan kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi cabaran sulung musim ini.

Walaupun mengakui Terengganu FC merupakan antara pencabar utama liga, Brundo menegaskan sasaran pasukan adalah meraih tiga mata penuh bagi memberikan suntikan moral kepada skuad dan penyokong, yang menantikan kebangkitan Penang FC.

“Kami telah bekerja keras untuk menjadi pasukan yang mengamalkan tekanan tinggi, merampas bola dengan pantas, melakukan transisi segera, rock and roll. Saya harap semua dapat melihat usaha kami dalam persiapan musim ini.

“Kami mahu membuatkan penyokong bangga dengan pasukan baharu ini. Harapan tinggi dan semua tidak sabar untuk beraksi,” katanya ketika ditemui pemberita di sesi latihan di padang KOPA Arena, Universiti Sains Malaysia, di sini, malam tadi.

Terdahulu, majlis memperkenalkan jersi baharu Penang FC bagi musim 2025/2026 turut diadakan oleh penaja rasmi, Kaki Jersi.

Sementara itu, penyerang baharu dari Ivory Coast, Tchetche Kipre, optimis skuad yang dibarisi ramai muka baharu itu mampu memberi saingan sengit kepada Terengganu FC.

Pemain berpengalaman lapan tahun di Liga Malaysia itu menegaskan, bola sepak bukan soal individu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kerjasama berpasukan untuk meraih kemenangan.

“Dengan ramai pemain baharu, pasukan ini hampir sepenuhnya berwajah baru. Kami mahu menang pada aksi pembukaan di laman sendiri untuk membuktikan inilah rumah kami dan mentaliti kemenangan kami bawa ke Pulau Pinang.

“Saya percaya kami mampu melakukannya dengan usaha dan pengalaman yang ada,” katanya.

Pengendali Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail, berkata walaupun dibarisi rata-rata pemain baharu, kebanyakan mereka memiliki pengalaman luas beraksi bersama kelab kompetitif Liga Malaysia.

“Dalam tempoh lapan minggu ini, kami mengadakan beberapa perlawanan persahabatan pramusim termasuk menentang Terengganu. Jadi, kami sudah tahu serba sedikit kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan