KUALA KUBU BHARU, 10 Ogos (Bernama) -- Industri pertanian negara perlu diperkukuh melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah itu penting dalam memastikan keterjaminan makanan termasuk sektor tenusu bagi memenuhi kehendak pasaran domestik.
Beliau berkata Majlis TVET Negara bersedia menyalurkan bantuan dan bekerjasama dengan institusi latihan pertanian seluruh negara bagi melaksanakan inisiatif berkenaan terutama melalui kursus bercirikan teknologi tinggi untuk menarik minat golongan anak muda.
“Modul tersedia selama ini baik tetapi pada hemat saya, penggunaan Internet benda (IoT) dan pedagogi pengajaran untuk mereka (TVET) ini penting.
“Perlu 30 peratus sahaja pembelajaran di dalam kelas manakala 70 peratus mesti berada di lapangan bagi memberikan pendedahan bidang pertanian kepada mereka,” katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) “Ehsan Dairy Farm” di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Ahmad Zahid berkata aspek gaji premium perlu ditawarkan kepada graduan TVET dalam bidang pertanian dan bukannya terikat dengan gaji minimum RM1,700 bagi menarik minat generasi muda menyertai sektor berkenaan.
Beliau berkata graduan TVET khususnya pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga layak menerima gaji minimum RM3,000 manakala pemegang SKM Tahap Lima berpeluang mendapat hingga RM5,000 sebulan.
“SKM Tahap Lima setaraf dengan diploma, lazimnya daripada permintaan pasaran atau kebolehgajian cukup tinggi, ia mencecah gaji premium kira-kira RM5,000 dan hal ini tentunya akan dapat menarik anak-anak muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.
Mengenai Ehsan Dairy Farm, Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan pencetus perubahan oleh PKPS dalam usaha meningkatkan pengeluaran tenusu tempatan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan pengimportan produk berkenaan di negara ini.
"Kita mengimport kira-kira 94.7 peratus keperluan tenusu negara bernilai RM4.6 juta setahun. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 baru-baru berkata beban yang agak besar adalah apabila kita mengimport bahan-bahan makanan termasuk tenusu ini dari luar negara.
“Jadi usaha PKPS ini adalah satu usaha yang proaktif agar akhirnya nanti kita akan dapat mengurangkan (kebergantungan import tenusu) dengan jumlah yang besar secara signifikannya,” katanya.
Ehsan Dairy Farm dijangka beroperasi pada awal 2026 terletak di kawasan seluas kira-kira 16.7 hektar di Ladang PKPS Sungai Tengi dan akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi, Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia, negara yang terkenal dengan kepakaran pembiakbakaan ternakan tenusu secara industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial