AM

PM Puji Pengurusan MTHQA, Pengiktirafan Untuk Terus Bekerja Kuat - Mohd Na'im

10/08/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pengurusan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berakhir semalam. 

Perkara itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Pengisian majlis penutup semalam membawa satu kelainan yang segar dan lebih membanggakan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memuji pengurusan MTHQA tahun ini.

“Pengiktirafan ini wajar menjadi pembakar semangat untuk kita semua terus bekerja dengan lebih kuat, kreatif dan ikhlas demi agama, bangsa serta negara,” katanya.

Mohd Na’im berkata MTHQA bukan sahaja berjalan lancar, malah meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan negara.

Menerusi hantaran itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, jawatankuasa MTHQA 2025 serta agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjayakan penganjuran tersebut.

“Segala jasa, keringat dan pengorbanan masa serta tenaga dicurahkan semua petugas adalah amalan mulia yang mudah-mudahan dinilai sebagai ibadah dan diberi ganjaran setinggi-tingginya oleh Allah SWT,” katanya.

MTHQA yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 2 Ogos, menyaksikan qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul johan qari dengan markah 97.01 peratus, mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) dan wakil Turkiye Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus) yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mengharumkan nama negara dengan markah 95.88 peratus, mengatasi peserta Maghribi Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan