AM

Cadangan Dewan Belia Jadi Sebahagian Daripada Perancangan Bajet Melaka 2026

11/08/2025 12:58 PM

MELAKA, 11 Ogos (Bernama) -- Cadangan yang dikemukakan pada Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Belia Melaka 2025 selama tiga hari bermula hari ini akan dijadikan sebahagian daripada perancangan Bajet 2026 Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia penting untuk diambil kira oleh pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan aspirasi belia dapat diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi impak langsung kepada warga belia.

“Kerajaan negeri optimis memastikan setiap cadangan dan resolusi yang lahir daripada persidangan ini diberi perhatian serius dan tindakan susulan yang berkesan agar impaknya mampu menjangkau setiap lapisan belia di seluruh negeri.

“Justeru, tahun ini saya berharap tumpuan dapat diperluaskan kepada skop yang lebih besar, termasuk pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi belia, penguasaan teknologi serta pemerkasaan kepimpinan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan yang berlangsung di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar, barisan Exco dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Pada persidangan hari ini, sebanyak 34 Ahli Dewan Undangan Belia termasuk enam lantikan Ketua Menteri mengangkat sumpah jawatan.

Ab Rauf berkata beliau berharap agar persidangan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangka agenda belia yang jelas, inklusif dan realistik, selaras dengan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan negeri. 

“Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini menjadi wadah penting bagi ahli-ahli dewan untuk membincangkan isu-isu semasa, cabaran serta aspirasi generasi muda Melaka berkaitan dengan semua portfolio Exco.

“Saya berharap persidangan ini mampu menyuntik inspirasi dan memperkukuh semangat kerjasama antara semua ahli dewan, agar belia dan barisan kepimpinan Melaka dapat bergerak seiring memacu pembangunan negeri yang lebih unggul,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan