KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pelancaran NurAI, aplikasi patuh Syariah pertama di dunia, menjadi penyelesaian teknologi bagi menangani ketidaktepatan fakta berkaitan fatwa dan hukum Islam yang kerap disebarkan menerusi kandungan kecerdasan buatan (AI) di platform Barat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata NurAI yang berkonsepkan Large Language Model (LLM) dan dibangunkan sepenuhnya berasaskan nilai Islam itu bukan sekadar memproses bahasa, tetapi turut memahami adab, memelihara hukum, serta mengangkat maruah budaya umat Islam.
Ahmad Zahid berkata pelancaran ini juga mengambil kira hakikat bahawa kebanyakan sistem AI global dibangunkan di barat, namun nilai dan keutamaan yang dibawa tidak semestinya selari dengan cara hidup dan aspirasi kita.
“Malah, ada kajian mendapati bahawa terdapat kandungan AI berkaitan Islam di platform barat mengandungi unsur bias atau ketidaktepatan fakta sekali gus menampilkan gambaran negatif terhadap agama dan budaya kita.
“Kita pernah menyaksikan bagaimana sistem AI memberi jawapan bercanggah dengan prinsip Syariah apabila ditanya tentang hukum kewangan Islam atau memetik sumber tidak sahih ketika membincangkan isu akidah. Inilah jurang yang mesti kita tutup dan Insya-Allah, saya yakin NurAI mampu melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum merasmikan NurAI: LLM Syariah Pertama Dunia di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Zetrix AI Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah.
Ahmad Zahid berkata anjakan ini bukan sahaja menjadi simbol inovasi, malah berperanan sebagai instrumen diplomasi teknologi dalam memposisikan Malaysia sebagai peneraju AI patuh Syariah.
“Ia juga membuka pintu kerjasama strategik dengan negara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sekali gus mengukuhkan pengaruh Malaysia di pentas antarabangsa.
“Jadikan platform ini asas membentuk pemikiran masyarakat, menjawab persoalan halal dan haram, memberi panduan zakat dan faraid, menyediakan nasihat pelaburan patuh Syariah secara terbuka dan akhirnya membimbing masyarakat berlandaskan disiplin ilmu Islam yang benar dan diiktiraf,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berharap pelancaran NurAI menjadi satu permulaan gerakan besar yang melibatkan seluruh ekosistem negara.
“Saya amat yakin dengan langkah strategik yang konsisten, Malaysia berpotensi menjadi hab pendigitalan utama diyakini dunia Islam, khususnya di rantau ini.
“Saya juga yakin ekosistem AI yang kita bangunkan hari ini akan menjadi legasi Malaysia untuk dunia Islam, warisan yang berpaksikan ilmu, teknologi dan iman yang akan dikenang bukan sahaja generasi hari ini tetapi anak cucu kita di masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jimmy Wong berkata Zetrix AI memainkan peranan penting sebagai pemudah cara utama dalam pembangunan NurAI yang bukan sahaja bertindak sebagai entiti teknologi tetapi menjadi penggerak kepada pelaksanaan ekosistem AI Islamik pertama seumpamanya.
“Pembangunan NurAI telah dipacu sepenuhnya menerusi kerangka kerjasama serantau yang diwujudkan melalui Makmal AI ASEAN China yang berpusat di Zetrix Tower.
“Pelancaran NurAI hari ini membuktikan ASEAN berupaya membangunkan teknologi AI yang canggih, berteraskan nilai dan budaya serta bersaing di peringkat global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial