AM

Kerja Naik Taraf Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu Dijangka Siap Februari 2026

18/04/2025 04:42 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 April (Bernama) -- Kerja-kerja menaik taraf ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri, dengan kos keseluruhan RM12.2 juta dijangka siap selewat-lewatnya pada Februari 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata kerja menaik taraf yang giat dijalankan sejak Disember lepas, adalah bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026. Projek ini menampilkan konsep moden sambil mengekalkan elemen kehijauan.

Beliau berkata kerja menaik taraf fasa pertama melibatkan pembinaan pintu gerbang bernilai RM500,000 manakala fasa kedua membabitkan kawasan parkir seluas tiga ekar berjumlah RM3 juta yang dapat menempatkan 150 kenderaan pada satu masa. Selain itu, pembinaan Pengkalan Leluri, Jeti Batu, Jeti Nelayan dan Laman Budaya.

“Fasiliti yang disediakan termasuk pusat informasi, tempat letak kereta elektrik (EV) dengan pengecas yang sesuai, selain pelbagai kemudahan lain seperti ‘shutter’ dan sebagainya,” katanya pada sidang media di jeti Kampung Sungai Melayu di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerja menaik taraf ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.

Seiring dengan projek penaiktarafan ini, pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung akan berkunjung ke Kampung Sungai Melayu, memandangkan ia merupakan antara destinasi menarik yang perlu dilawati sempena Tahun Melawat Johor.

Ketika ditanya mengenai kejadian banjir di Iskandar Puteri, Pandak berkata tiga kawasan hotspot banjir telah dikenal pasti iaitu Kampung Pulai, Kampung Wawasan, dan Mukim Tanjung Kupang.

Menurutnya, banjir berlaku disebabkan hujan lebat berterusan, air laut pasang, serta perubahan cuaca yang tidak menentu.

“Kita telah memohon peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja mendalamkan sungai dan membaik pulih sistem saliran perparitan. Diharapkan konsesi yang diperoleh nanti dapat menyelenggara saliran dengan baik. Jika parit dan sistem saliran dibaik pulih, ia dapat mengurangkan beban banjir,” katanya.

Pandak turut mengucapkan terima kasih atas pengumuman Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz, mengenai bantuan besar bagi mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Namun, bagi mereka yang tidak berpindah ke PPS, mereka perlu membuat rayuan.

Katanya sebelum ini kerja-kerja mendalamkan Sungai Gelang Patah berjumlah RM2.2 juta telah dilaksanakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan