AM

NAIO Kaji Undang-undang Tangani Cabaran Teknologi Masa Depan - Gobind

11/11/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang  dilancarkan pada bulan depan akan mengkaji keperluan menaik taraf undang-undang sedia ada atau menggubal undang-undang baharu berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu lain.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kajian itu bertujuan menangani cabaran yang bakal muncul daripada perkembangan teknologi termasuk isu ketirisan data peribadi.

“Kita memang sedar berkaitan dengan perkara-perkara ini (ketirisan data peribadi) dan ada juga negara lain serantau dan juga peringkat global yang telah melihat secara spesifik (perkara ini).

“Selepas melancarkan Pejabat AI bulan depan, kita akan melihat keperluan untuk kita mengubah undang-undang ataupun mewujudkan piawaian yang perlu untuk menangani keadaan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai langkah kerajaan bagi mengatasi implikasi negatif AI termasuk isu kebocoran data peribadi.

Penubuhan NAIO di bawah seliaan MyDigital Corporation diumumkan pada 5 Sept lepas dengan fokus utama adalah merangka ekosistem yang memastikan Malaysia boleh menjadi hab AI di rantau ini.

Gobind berkata NAIO ialah organisasi utama yang akan memantau pelaksanaan teknologi AI mengikut sektor dalam negara bagi memastikan segenap aspek dijaga dengan baik daripada sebarang ancaman dan penyalahgunaan.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) pada 20 Sept lepas, bagi menyediakan persekitaran dan ekosistem yang menyokong reka bentuk dan pembangunan AI secara beretika dan bertanggungjawab.

Selain itu, Gobind berkata Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi juga sedang membangunkan tujuh garis panduan yang boleh dijadikan dokumen rujukan oleh pengawal data di Malaysia dengan tiga daripadanya berkait secara langsung dengan teknologi AI.

Tiga garis panduan berkenaan ialah Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA), Garis Panduan Mereka Bentuk Berasaskan Privasi (PbD) dan Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan