KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kaedah mengenakan pembayaran levi berdasarkan pemilikan kenderaan dikhuatiri akan menimbulkan risiko keciciran penyasaran subsidi RON95 yang lebih besar terhadap golongan terlibat, kata Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli.
Beliau berkata hal ini kerana data daripada Pangkalan Data Utama (PADU) mendapati kira-kira 40 peratus daripada keluarga sasar, iaitu B60 tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Jadi, di sini kita mempunyai masalah … walaupun terdapat cadangan mengatakan penggunaan pendaftaran kenderaan adalah lebih baik, hakikatnya bagi keluarga-keluarga terbawah, mereka tidak ada pendaftaran kerana kemungkinan menggunakan motosikal atas nama pendaftaran orang lain.
“Kita juga telah melalui perkara ini semasa pelaksanaan diesel … jadi, berdasarkan data awal ada ketidakpadanan yang besar akibat amalan yang berlainan di bawah kerana sama ada mereka sambung bayar (kenderaan) atau menggunakan nama individu lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai pandangan kerajaan menggunakan penyasaran subsidi petrol RON95 melalui kaedah levi petrol semasa membaharui cukai jalan untuk memastikan kelancaran di stesen minyak berbanding mekanisme penggunaan kad pengenalan bagi pengesahan kelayakan.
Mohd Rafizi berkata kerajaan sedia maklum tiada kaedah yang sempurna untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 kerana setiap cadangan pasti timbul beberapa risiko dari segi operasi, kos dan penipuan.
“Namun, yang menjadi keutamaan kerajaan ialah pengawalan harga barang dan mengekang peningkatan inflasi … dan mengikut pertimbangan, walaupun pelaksanaan yang dipilih kerajaan melalui kaedah harga dua peringkat di stesen minyak (juga) mempunyai risiko, ia dilihat sebagai sesuatu yang boleh dibaiki dari semasa ke semasa.
“ … berbanding menggunakan kaedah lain yang hanya akan menyebabkan kenaikan inflasi mendadak dan sukar untuk diperbaik, seperti menurunkan harga barang yang seterusnya membebankan rakyat pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial