AM

Pelaksanaan Rumah Mampu Milik Di Bawah RMK12 Capai 89 Peratus

12/11/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 89 peratus atau 443,259 unit rumah mampu milik (RMM) telah siap dibina, sedang dalam pembinaan, dan dalam perancangan di seluruh negara sehingga 30 Sept lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sasaran penyediaan 500,000 RMM di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kini hanya berbaki 56,741 unit rumah, dan pihaknya yakin mampu menyelesaikan projek tersebut pada penghujung pelaksanaan RMK12.

“Sekiranya berjaya dilaksanakan sepenuhnya, ini akan menjadi kali pertama sasaran pembangunan RMM dicapai mengikut perancangan RMK,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Nga berkata KPKT mempunyai perancangan komprehensif untuk membina loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) menggunakan teknologi insinerator, bagi mengatasi isu kekurangan tapak pelupusan sanitari yang sesuai serta menangani peningkatan jumlah sisa yang dihasilkan setiap tahun.

Beliau berkata loji tersebut mampu menjana tenaga boleh baharu yang dieksport ke grid nasional untuk menggantikan tenaga elektrik yang dijana daripada bahan api fosil.

Nga berkata setiap 60 tan sisa pepejal yang dirawat menggunakan teknologi WTE mampu menjana satu megawatt (MW) tenaga elektrik yang boleh digunakan untuk 2,000 rumah.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa loji WTE adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan kerana ia dibina mengikut spesifikasi ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, selaras dengan prinsip zero waste dan zero toxin, serta menyokong transformasi ke arah ekonomi kitaran dengan konsep loji dalam taman seperti yang dilaksanakan di negara maju.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan