AM

Tunku Azizah Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif UiTM

13/11/2024 01:31 PM

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) atas sumbangan dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya pada peringkat antarabangsa. 

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM di sini hari ini. 

Sultan Ibrahim ketika bertitah pada istiadat berkenaan turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap pencapaian Tunku Azizah yang juga adinda Seri Paduka Baginda, kepada industri seni kreatif negara. 

Turut berangkat pada Istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UiTM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. 

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. 

Shahrin ketika mempersembahkan anugerah memaklumkan penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan meluas Tunku Azizah dalam bidang seni tekstil dan seni kraf tradisional antaranya menerusi penglibatan aktif dalam menaungi beberapa organisasi di dalam dan luar negara bagi memartabatkan seni warisan negara itu. 

Beliau berkata sumbangan signifikan Tunku Azizah dalam memasyhurkan Kain Tenun Pahang Diraja telah diiktiraf melalui Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India sekali gus mengangkat martabat kesenian warisan tradisi negara ke tahap yang tinggi.

"Pada 2006, Tenun Pahang telah mendapat pengiktirafan diraja dan kini dikenali dengan nama Tenun Pahang Diraja sekali gus mengangkat martabat seni tekstil ini pada peringkat yang lebih tinggi," katanya. 

Shahrin berkata sumbangan Tunku Azizah turut terbukti melalui penubuhan Institusi Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Afzan terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang yang berperanan untuk memberi ilmu kepada generasi muda agar seni tradisi itu tidak hilang ditelan zaman. 

Beliau berkata kemahiran seni tangan Tengku Ampuan Pahang itu turut diterjemahkan melalui Projek Tenun Pahang yang telah diperluas kepada penghuni penjara Penor dan Bentong serta beberapa penjara lain. 

"Minat yang mendalam ini juga telah membawa kepada penubuhan syarikat yang menghasilkan kain tenun, dikenali ‘Che Minah Sayang’. Dengan cara ini, ia dapat menggalakkan masyarakat menghasilkan karya yang bermutu untuk dikomersialkan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan