Oleh Sarinah Mat Kasim
PORT DICKSON, 13 Nov ( Bernama) -- Langkah berani seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) di sini menceburi perniagaan hampir 10 tahun lepas dengan tekad untuk tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ternyata membuahkan hasil.
Memulakan perniagaan menjual produk pekasam resipi warisan ibunya di tepi jalan pada 2015, kini Mohd Alias Abu Bakar, 34, sudah mampu menyewa gerai milik Majlis Perbandaran Port Dickson bagi menguruskan perusahaannya secara lebih teratur untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat, termasuk menerusi dalam talian.
Beliau berkata produk pekasam keluarannya bukan sahaja terdiri daripada ikan air tawar dan laut, tetapi juga daging dan telur sotong yang dijual pada harga di antara RM13 hingga RM16 satu pek, dan beliau mampu meraih untung bersih kira-kira RM7,000 setahun.
"Alhamdulillah, produk pekasam ini laris dijual di gerai dan juga di platform e-dagang. Produk saya juga dipasarkan di Halal Valet Johor Bahru dan terbaru saya cuba menjualnya melalui TikTok,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Alias mengalami kecacatan tangan semasa berumur 17 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan, yang turut menyebabkan tempurung kepalanya cedera, sehingga memberi kesan kepada fungsi sebahagian anggota badannya di sebelah kiri.
Dalam keadaan kekurangannya, beliau tetap berazam menguasai aspek pengurusan dan strategi pemasaran menerusi sokongan pelbagai agensi kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing perusahaan mikro.
Anak kelahiran Port Dickson itu juga bersyukur menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi memudahkan urusan perniagaan, antaranya Bantuan Geran Pelancaran (BGP) menerusi '2 Years Exit Programme' (2YEP) di bawah JKM, selain pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Saya berharap pasaran produk ini terus berkembang dengan dijual di pasar raya di seluruh negara, namun belum ada kemampuan ke arah itu. Saya tetap bersyukur produk saya ini mendapat sambutan baik setiap kali menyertai pameran jualan produk tempatan,” katanya.
Mohd Alias yang baharu melangsungkan perkahwinan lima bulan lepas berkata sejak usia 10 tahun lagi dia telah belajar membuat pekasam daripada ibunya, sehinggalah ke hari ini resepi warisan keluarga terus digunakan bagi menghasilkan pekasam yang sedap.
“Keluarga kami memang menghasilkan produk pekasam sejak arwah datuk lagi. Jika datuk dan ibu buat pekasam jual dalam botol, sekarang saya memberi wajah baru dengan membuat pembungkusan yang lebih menarik mengikut peredaran zaman," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial