AM

LIAM Rai Ulang Tahun Ke-50 Dengan Kejohanan Boling, Inisiatif Khidmat Komuniti

14/11/2024 07:54 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-50 persatuan itu dengan beberapa siri inisiatif berimpak yang mempromosikan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan industri dan menyumbang kembali kepada komuniti. 

Antara aktiviti terbaharunya, LIAM menaja kejohanan boling tahunan industri insurans anjuran Institut Insurans Asia (Aii) di Sunway Mega Lanes yang menarik 175 peserta daripada 35 pasukan melibatkan seluruh syarikat insurans hayat dan am Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, LIAM mengumumkan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad muncul sebagai juara sekali gus meraih wang tunai RM1,500 dan trofi manakala AIA Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad berkongsi tempat kedua, masing-masing membawa pulang RM1,000 dan pingat.

“Sun Life Malaysia Assurance Berhad memperoleh tempat ketiga, menerima hadiah wang tunai RM800 dan pingat manakala AIG Malaysia Insurance Berhad dan Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad menduduki tempat keempat dan kelima.

“Anugerah pemain boling individu terbaik dimenangi Isahrulisam Ibrahim dari Berjaya Sompo Insurance Berhad dan Nurhazimah Idris dari Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell menekankan kepentingan kejohanan tahunan dalam menggalakkan kesejahteraan dan persahabatan dalam industri. 

“Ia membolehkan semua pihak, tanpa mengira kedudukan, untuk saling mengenali di luar persekitaran pejabat. Pujian diberikan kepada penganjur dan tahniah kepada semua pemenang,” katanya yang turut mengetengahkan sumbangan penting LIAM kepada industri insurans hayat dan usaha perlindungan sosial sejak 50 tahun lepas.

Sempena meraikan pencapaiannya, LIAM telah melancarkan beberapa inisiatif khidmat komuniti (outreach) termasuk Program Dana Pek Permulaan Insurans i-MULA 50 berjumlah RM5 juta bagi menyediakan insurans hayat mampu milik kepada 100,000 rakyat Malaysia yang layak. Program berkenaan menawarkan subsidi RM50 untuk polisi yang layak, meliputi kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal (TPD) serta penyakit kritikal.

Selain itu, LIAM dan 16 syarikat ahlinya telah menyumbang RM3.65 juta untuk Program Vaksinasi & Saringan HPV-Leaving No One Behind dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Yayasan ROSE bagi menyediakan vaksinasi dan pemeriksaan HPV percuma untuk memerangi kanser serviks.

Untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang insurans hayat, LIAM memperkenalkan kempen media sosial #LifeIsFullOfSurprises dan #LIAMGoldenMoments yang menawarkan hadiah wang tunai dan sumbangan kepada NGO terpilih berdasarkan penyertaan orang ramai dan menyasarkan untuk menyumbang RM100,000 kepada lima organisasi menjelang akhir kempen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan