SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Program Hari Komuniti MyPLUS yang dilaksanakan sejak 2013 telah memberikan manfaat kepada hampir 80,000 komuniti terpilih di sepanjang jajaran Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata program tanggungjawab sosial korporat berskala mega melibatkan kerjasama PLUS, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan KKR itu dirancang dan dilaksanakan secara teliti bagi memberikan impak yang signifikan kepada masyarakat di lokaliti terlibat.
“Kolaborasi strategik ini menyaksikan semua pihak berganding bahu untuk sama-sama meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai projek kemasyarakatan.
“Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 25 projek kemasyarakatan dengan tema “Memperkasa Komuniti Selamat dan Bestari” telah dijalankan di komuniti terpilih di sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2),” katanya ketika merasmikan program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Kebangsaan (SK) HICOM di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
Program itu juga diadakan secara serentak di 25 lokasi terpilih lain di seluruh negara, melibatkan lebih 21,000 penduduk dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program melibatkan lapan sekolah, 11 kemudahan komuniti setempat dan enam pusat rekreasi itu, antara lain meliputi kerja membaik pulih kemudahan sekolah dan masjid, pemasangan papan tanda keselamatan dan tunjuk arah, mengecat lintasan pejalan kaki serta membersihkan sungai, taman rekreasi dan pantai.
Nanta berkata untuk SK HICOM, program yang turut melibatkan pelajar institusi pendidikan tinggi awam dan swasta itu menumpukan kepada menaik taraf sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap dihadapi setiap kali hujan lebat.
Masalah itu katanya menjejaskan operasi selain menyekat pergerakan dan menyebabkan masalah keselamatan serta keselesaan kira-kira 1,400 warga sekolah.
“Saya berharap usaha daripada PLUS dan KKR ini dapat memberikan lebih keselesaan kepada murid-murid dan guru-guru dalam menjalani suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan RM20,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial