AM

Penjawat Awam Persekutuan, Negeri Perlu Perkukuh Sinergi Realisasi Projek Pembangunan Sabah

14/11/2024 05:24 PM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Penjawat awam Persekutuan dan negeri di Sabah perlu terus memperkukuh kerjasama erat dalam usaha memastikan segala peruntukan berkaitan pembangunan Sabah disalurkan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 dapat dilaksanakan sebaiknya demi manfaat rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata isu berkaitan pembangunan kemudahan dan infrastruktur awam di Sabah yang menjadi rungutan serta aduan rakyat negeri itu akan terus berlaku sekiranya tiada sinergi yang utuh dibentuk bagi menangani perkara berkenaan.

"Kerjasama yang baik perlu dijelmakan untuk memastikan peruntukan disediakan kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Mengambil contoh Sarawak yang begitu pantas dalam membangunkan negeri mereka. Jadi Sabah tidak terkecuali. Tidak ada kurangnya Sabah.

“Cuma mungkin (perlu) kerjasama antara beberapa pihak terutama daripada Persekutuan dan negeri  supaya segala perancangan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan. Saya pasti rakyat Sabah mahu melihat pembinaan Pan Borneo Sabah juga sama seperti progress dan pelaksanaannya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui selepas menghadiri program Bitara INTAN - Bicara H.E.M.A.T: Merealisasikan Aspirasi Perkhidmatan Berprestasi Tinggi di sini, hari ini.

Dalam Belanjawan 2025 Wan Ahmad Dahlan berkata Sabah menerima peruntukan RM6.7 bilion bagi penyediaan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih, selain surat setuju terima bagi 17 pakej pembinaan jalan di bawah Fasa 1B Pan Borneo Sabah.

Beliau berkata ini tidak termasuk sejumlah peruntukan besar bagi menaik taraf prasarana sekolah daif di Sabah, katanya.

Sementara itu Wan Ahmad Dahlan menyeru semua penjawat awam supaya melakukan anjakan paradigma dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berikutan penambahbaikkan dilakukan kerajaan antara lain melibatkan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab dengan meluluskan skim baharu perkhidmatan itu yang turut merangkumi pembangunan bakat dan kerjaya penjawat awam, justeru perubahan drastik perlu dilakukan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

"Biarlah perkhidmatan kita setimpal dengan apa yang telah diberikan kerajaan. Itulah harapan saya. Saya juga menyeru kepada semua penjawat awam Persekutuan di Sabah supaya jangan ragu-ragu untuk memilih SSPA.

"Ini kerana sistem ini memberi faedah yang sangat baik kepada penjawat awam bukan hanya dari segi gaji, tetapi juga dari segi kemajuan kerjaya dan pembangunan bakat mereka. Harapan saya sebelum 30 Nov ini, semua penjawat awam Persekutuan di Sabah memilih SSPA," katanya.

Terdahulu Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya berkata lima nilai membentuk H.E.M.A.T. iaitu "Hijrah Tata Kelola", "Empati Rakyat", "Minda Pekin", "Apresiasi Inovasi" dan "Telus Tadbiran" diperkenal pada Februari lepas itu bertujuan membentuk perkhidmatan awam progresif, inklusif dan berdaya saing.

Beliau berkata nilai itu juga dicipta bagi memastikan penjawat awam mampu menambah baik penyampaian perkhidmatan, selain berupaya menongkah arus cabaran masa kini termasuk kemunculan teknologi terkini sekali gus bergerak ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi serta agenda negara yang telah dirangka.

Pada majlis itu Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan Kursus Terbuka Dalam Talian H.E.M.A.T. merangkumi sinopsis Modul Latihan Pembudayaan H.E.M.A.T. yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi e-Pembelajaran Sektor Awam secara Massive Open Online Courses.

Ini bagi memberi kefahaman dan memperkukuh penerapan nilai-nilai H.E.M.A.T dalam kalangan pegawai awam menerusi pembelajaran lebih fleksibel, menyeluruh dan sesuai dengan era digital masa kini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan