AM

KPN Cadang Tubuh Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan

14/11/2024 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bercadang menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan pada tahun depan bagi menangani sebarang permasalahan perpaduan termasuk berkaitan isu raja, agama dan kaum (3R), kata Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata cadangan penubuhan jawatankuasa itu adalah sebahagian usaha KPN untuk memperhebat inisiatif Harmoni MADANI iaitu program bagi meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam di negara ini.

Aaron berkata ia bakal ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Harmoni MADANI yang dipengerusikan beliau serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar. 

Dalam pada itu, beliau berkata Jawatankuasa Harmoni MADANI telah menyenaraikan pelbagai program untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat antaranya Dialog MADANI dan penganjuran majlis sambutan Minggu Keharmonian Sedunia yang disambut minggu kedua Februari setiap tahun.

“Kita juga mengadakan siar pod (podcast) harmoni, iklan perayaan serta dokumentari kisah perpaduan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPN di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan RUU Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu melibatkan peruntukan RM711.34 juta selepas ia mendapat lebih suara bersetuju.

Terdahulu, 16 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan