AM

Program Junior Superhero Simpan SSPN Rai Bayi Baru Lahir Di Pulau Pinang

16/11/2024 11:11 AM

GEORGE TOWN, 16 Nov (Bernama) --  Seramai 50 bayi baharu lahir di Pulau Pinang menerima sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berjumlah RM5,000 menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN.

Program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersempena Hari Tabungan Sedunia bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata program itu, yang diperkenal tahun lepas di Terengganu, kali ini memilih Hospital Pulau Pinang (HPP) di mana setiap bayi menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN serta hamper barangan bayi. 

“Pelaksanaan program ini bertujuan menanam budaya menabung dan memberi kesedaran kepada masyarakat serta ibu bapa mengenai kepentingan penabungan serta perancangan kewangan sedari awal untuk jaminan masa hadapan anak-anak. 

“Dengan membuat simpanan dalam Simpan SSPN, akses kepada pendidikan tinggi anak-anak akan lebih terjamin dan tidak perlu lagi menanggung beban hutang pinjaman yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat wad bersalin HPP dan menyerahkan sumbangan bersempena program itu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah HPP Dr Goh Hin Kwang dan Pengarah PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Norliza juga berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN sentiasa prihatin melaksanakan pelbagai inisiatif dan program berimpak tinggi termasuk Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan lebih terjamin.

Justeru itu, beliau menyarankan supaya ibu bapa yang baharu menerima kelahiran untuk membuka akaun Simpan SSPN dengan kadar minimum RM20 bagi mendapatkan pelbagai manfaat.

“Antara kelebihan menyimpan dengan SSPN ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan dan sudah tentu ia patuh syariah.

“Jadi, gunalah kelebihan yang ada ini kerana paling penting mereka mula menabung sekarang dan dengan faedah dividen serta manfaat lain yang ditawarkan pada usia 18 tahun nanti, mereka akan dapat melanjutkan pelajaran tanpa perlu meminjam, kalau nak pinjam pun mungkin sedikit,” katanya.

Seorang penerima, Syufinor Izzatie Shaik Faisol, 25, berkata sumbangan itu amat bermanfaat terutama buat mereka yang pertama kali menjadi ibu seperti dirinya.

“Sumbangan ini boleh dijadikan langkah pertama untuk memulakan simpanan meskipun anak saya baru berusia beberapa hari.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, kita bukan sahaja perlu berjimat cermat tetapi juga mula menabung demi masa depan anak-anak supaya satu hari nanti kalau anak saya mahu menyambung pelajaran, sekurang-kurangnya sudah ada wang,” katanya yang melahirkan bayi lelaki pada Rabu lepas.

Nur Imyrah Abdullah, 27, pula menanam keazaman untuk konsisten menyimpan wang setiap bulan di dalam akaun Simpan SSPN yang diterima demi masa depan pendidikan anaknya.

“Inisiatif PTPTN mengadakan program sebegini amat baik kerana dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk membuat tabungan lebih awal kerana ia mampu meringankan bebanan kewangan di kemudian hari,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan