AM

Teroka Pelbagai Perspektif Sunyi Dalam Pameran Seni Visual Di Hospital Lama Kuah, Langkawi

17/11/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Meneroka perspektif sunyi melalui seni visual bagi merungkai pelbagai persoalan antaranya isu sosial dan alam sekitar, memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung Pameran Sunyi di Hospital Lama Kuah, Langkawi sejak Jumaat lepas.

Mengetengahkan bakat muda di bawah Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024, pameran yang berlangsung hingga 24 Nov ini menjadi ruang kepada mereka mengembangkan seni kontemporari.

Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan pameran yang dibuka dari 5 petang hingga 10 malam itu, cuba menggambarkan 'sunyi’ melalui keindahan alam semula jadi di Langkawi serta gaya hidup lebih damai yang jauh daripada hiruk-pikuk kehidupan kota besar.

“Dalam konteks ini, ‘sunyi’ dilihat dari sudut yang positif, memberikan ruang untuk refleksi serta penghargaan terhadap nilai kehidupan yang lebih luhur, seperti perayaan ‘Nyepi’ di Bali, Indonesia disambut dalam suasana sunyi, penuh dengan makna spiritual mendalam,” menurut kenyataan itu.

Pameran itu menggabungkan 11 artis muda yang aktif dalam menghasilkan seni instalasi site-specific seperti Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn dan Ahmad Rajaie.

Dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman semalam, ia turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

Turut dirasmikan semalam ialah Simposium Bakat Muda Sezaman 2024, berlangsung selama dua hari hingga hari ini dengan mengupas hala tuju Bakat Muda Sezaman serta kepentingan memahami konsep seni di lokasi dan seni komuniti. 

“Simposium bertujuan menjadi pendorong kepada seniman muda dalam menghasilkan karya seni yang relevan dan seiring dengan tema ditetapkan sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman akan datang,” menurut kenyataan itu.

Simposium itu turut menghimpunkan pakar rujuk terdiri daripada kurator dan seniman seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr Tisna Sanjaya serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar yang juga Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan