KOTA BHARU, 18 Nov (Bernama) -- Sebanyak 25 penduduk Dabong, di Kuala Krai yang terlibat dengan pelbagai kegiatan pelancongan di kawasan itu dilantik sebagai Hos Komuniti Setempat (HKS), kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor.
Beliau berkata pelantikan itu membolehkan mereka memiliki lesen yang diiktiraf bagi memainkan peranan lebih berkesan dalam mempromosikan tarikan pelancongan di peringkat komuniti.
"Kesemua peserta program ini telah menjalani empat sesi latihan mengguna pakai standard keterampilan kebangsaan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran bermula Ogos hingga Oktober lepas.
"Kita mulakan HKS di Dabong bagi mempromosikan keunikan budaya dan alam sekitar, sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai 'Gerbang Ekopelancongan Lestari' selain membantu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program HKS di sini hari ini.
Beliau berkata program berkenaan akan diperluas ke daerah lain pada masa akan datang bagi memastikan komuniti setempat turut memainkan peranan dalam sektor pelancongan.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata jumlah pelancong ke Kelantan dijangka melebihi sasaran 10 juta orang menjelang hujung tahun ini berdasarkan beberapa petunjuk termasuk peningkatan jumlah penerbangan ke negeri ini.
Beliau berkata secara purata, seorang pelancong membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 bagi percutian selama tiga hari untuk penginapan, makanan serta produk tempatan yang dapat memacu perkembangan ekonomi negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial