KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta pihak konsultan yang terlibat di dalam projek menaik taraf tanah wakaf kubur berdekatan Masjid Khadijiyyah di Pantai Dalam supaya segera menyediakan pelan naik taraf secara berfasa.
Beliau berkata ini bagi memastikan tanah wakaf kubur itu dapat dimanfaatkan oleh kariah di kawasan tersebut dalam masa terdekat.
“Saya memohon agar pihak konsultan segera menyediakan pelan naik taraf secara berfasa, agar kariah dapat manfaatkan. Insya-Allah mesyuarat berikutnya dijadualkan pada Disember ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi berkata satu perbincangan telah diadakan melibatkan ahli jawatankuasa Masjid Khadijiyyah, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan wakil syarikat pemaju berkenaan usaha menaik taraf tersebut.
Beliau berkata menerusi perbincangan itu beliau dimaklumkan oleh pihak konsultan bahawa kerja-kerja perlu dimulakan dengan menaik taraf longkang atau anak sungai supaya tidak berlaku hakisan.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerja-kerja pembukaan tapak perkuburan baharu di atas tanah wakaf di Pantai Dalam dijangka mengambil masa tiga bulan selepas mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial