AM

GPS Terima Mandat Beri Syor, Cadangan Pelaksanaan PJRM@Kampus

19/11/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Gerakan Pengguna Mahasiswa (GPS) hari ini terima mandat untuk memberikan syor dan cadangan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM)@Kampus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata GPS perlu mengemukakan pandangan dalam tempoh dua minggu berhubung mekanisme pelaksanaan dan jenis barangan sesuai untuk ditawarkan pada program itu sebelum ia dimuktamad serta dilaksanakan bermula awal tahun depan secara berperingkat di institut pengajian tinggi seluruh negara.

“Selain daripada satu program premium PJRM@Kampus, mungkin (program) yang lain-lain itu kita boleh bekerjasama dengan koperasi-koperasi yang ada di IPT masing-masing untuk memberi diskaun dan ditambah dengan peruntukan kerajaan.

“…kepada GPS, ini mandat untuk bagi syor dan pandangan kepada KPDN, apa kaedah terbaik, elok melalui koperasi atau pendekatan lain dan apakah barang-barang, itu cukup penting (kerana) kita tidak mahu bila kita datang ke kampus buat PJRM, tapi akhirnya tidak ada sambutan sebab barang-barang dijual tidak bersesuaian,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Program tiga hari yang berlangsung bermula Ahad lepas itu bertujuan meningkatkan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat dan memperkasa peranan mahasiswa dalam menggerakkan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR), menghimpunkan 268 ahli GPS daripada 134 institusi pengajian tinggi seluruh negara. 

Armizan berkata langkah itu antara lain bertujuan memperkukuh peranan GPS sebagai pemegang taruh dalam menggerakkan fungsi utama kementerian berkenaan iaitu agenda menangani isu kos sara hidup. 

Beliau seterusnya berkata kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2025 telah meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah daripada RM200 juta kepada RM300 juta, justeru KPDN merancang untuk menambah baik pelaksanaan PJRM termasuk PJRM@Kampus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan