AM

Sabah Dicadang Ambil Inisiatif Bantu Kerajaan Tangani Kekurangan Doktor 

19/11/2024 09:05 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah dicadang mengambil inisiatif membiayai pengajian anak-anak Sabah yang berminat dalam bidang perubatan sebagai antara alternatif membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mengatasi kekurangan doktor di negeri itu.

Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) ketika mencadangkan perkara itu berkata anak-anak Sabah yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan boleh diserap untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai pegawai perubatan.

"Kita bagi biasiswa supaya kita ada kecukupan doktor di Sabah. Kita berharap kerajaan negeri mengatur program ini menerusi bahagian biasiswa dengan Kementerian Kesihatan.

“Di universiti kita ada program ini (perubatan) seperti di UMS (Universiti Malaysia Sabah), kita juga ada program ini di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan universiti di luar negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Sabah 2025) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dr Yusof berkata sebanyak 620 jawatan doktor pakar ditawarkan di Sabah namun hanya diisi 554 orang dengan 66 kekosongan manakala jawatan pegawai perubatan pula ada 2,375 perjawatan dan diisi sebanyak 1,951. 

Bagi mencapai nisbah seorang doktor merawat 500 pesakit mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), beliau berkata Sabah memerlukan seramai 7,000 doktor.

Dalam perkembangan lain, Datuk Masiung Banah (GRS-Kuamut) mencadangkan kerajaan Sabah dan  Persekutuan supaya sepakat memperkenalkan inisiatif ‘Tiket Rahmah’ bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia-Sabah-Labuan dan Sarawak mengikut kemampuan rakyat.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula wajar menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011 untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan tempatan yang sesuka hati menaikkan harga tiket penerbangan domestik bagi mengaut keuntungan tanpa mengambil kira kos sara hidup rakyat.

“Kita juga mengesyorkan KPDN dan Kementerian Pengangkutan supaya sepakat menetapkan harga lantai tiket penerbangan domestik terutama pada waktu puncak melibatkan musim cuti persekolahan, hari perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali selain Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Masiung juga memohon kepada kerajaan Sabah supaya menyediakan bantuan kecemasan sebagai pampasan kepada pekebun sawit di luar bandar yang menanggung kerugian fizikal akibat serangan haiwan liar seperti gajah selain kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti banjir.

Hingga hari ini, beliau berkata konflik antara manusia dan haiwan liar seperti gajah memusnahkan  banyak tanaman sawit milik penduduk di beberapa daerah seperti Tongod, Telupid, Kalabakan, Lahad Datu dan Kinabatangan mengakibatkan pekebun mengalami kerugian besar.

“Bagi tanaman kawasan rendah pula, kebun penduduk kerap dilanda banjir menyebabkan tanaman rosak dan mereka tidak dapat mengeluarkan hasil,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan