AM

Pembinaan CLQ Perlu Patuhi Garis Panduan - Chow

19/11/2024 09:23 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Terdapat garis panduan yang membenarkan pembinaan penginapan pekerja berpusat (CLQ) bagi pekerja warga asing, namun ia tertakluk kepada pematuhan oleh pihak pemohon bagi projek itu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata isu berkaitan penempatan pekerja asing sudah lama menjadi isu setempat, malah sering dibangkitkan apabila pekerja ditempatkan di merata tempat seperti taman perumahan, rumah pangsa dan pangsapuri sehingga menimbulkan gangguan serta impak sosial kepada penduduk sekitar. 

“Sepatutnya majikan atau ejen pekerja perlu bertanggungjawab, tetapi mereka memilih jalan mudah dengan menempatkan pekerja di rumah-rumah pangsa dan taman perumahan. 

“Oleh itu, kita (Kerajaan Pulau Pinang) menetapkan garis panduan kepada pihak swasta yang berminat untuk mendirikan projek-projek (CLQ) ini sebagai kemudahan kepada majikan-majikan, namun ia tertakluk kepada pematuhan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata kerajaan negeri sentiasa memperhalusi garis panduan dalam cadangan perancangan dan pembangunan penempatan pekerja asing sedia ada dari semasa ke semasa, malah pembinaan CLQ adalah bagi menangani isu penempatan pekerja asing.

-- LAGI

 

CHOW-CLQ 2 GEORGE TOWN

 

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum mengenai bantahan penduduk di Juru berhubung pembinaan CLQ berhampiran kawasan perumahan mereka, namun projek itu belum diluluskan dan masih di peringkat kajian impak sosial (SIA), sekali gus penduduk boleh menyuarakan pandangan atau bantahan kepada perunding yang dilantik untuk menjalankan kajian itu.

 Chow berkata terdapat beberapa projek CLQ telah diluluskan dan dalam pembinaan, selain ada yang telah siap khususnya di Daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan dengan terdapat pemusatan kilang di sekitar kawasan terbabit.

“CLQ bertujuan supaya mereka ini (pekerja warga asing) ditempatkan dalam satu penempatan yang lebih sesuai dengan semua kemudahan ada di dalam kawasan itu, sekali gus menangani isu gangguan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Mengenai cadangan tidak membenarkan pembinaan asrama pekerja di dalam kilang, beliau berkata sebagai sebuah negeri berstatus lembah silikon timur yang menjadi hab semikonduktor, maka tidak sesuai menempatkan satu blok asrama di dalam kilang.

Di samping itu, katanya ia turut membabitkan isu hak asasi kemanusiaan bagi pekerja berkenaan selain pematuhan beberapa piawaian lain seperti piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) oleh pihak majikan.

Semalam Majlis Bandaraya Seberang Perai memaklumkan belum menerima sebarang permohonan daripada pemaju berhubung cadangan pembinaan projek asrama pekerja asing di atas lot 10333, 10334 dan 10335 Mukim 12 di Juru, Bukit Mertajam dekat sini yang dibantah penduduk di situ.

Media sebelum ini melaporkan lebih 200 penduduk di Juru berkumpul meminta Kerajaan Pulau Pinang membatalkan pembinaan dua projek asrama pekerja asing di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembina­an Asrama Warga Asing di Juru, Wahid Othman dilaporkan berkata pelbagai faktor menyumbang kepada kebimbangan pendu­duk susulan kawasan berkenaan kini sudah dipenuhi warga a­sing walaupun projek itu belum dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan