AM

Aktiviti Cari Remis Jana Pendapatan Sampingan Musim Tengkujuh

21/11/2024 12:00 AM

PASIR PUTEH, 20 Nov (Bernama) -- Pantai Tok Bali di sini menjadi tumpuan orang ramai yang melakukan aktiviti mencari remis selepas spesies hidupan laut bercengkerang itu muncul di pesisir pantai berkenaan sejak beberapa minggu lepas. 

Rata-rata pencari remis memberitahu mereka mampu mengutip hingga 15 kilogram (kg) dalam tempoh beberapa jam pencarian, dengan harga jualan kira-kira RM15 sekilogram.

Seorang pencari remis, Wan Hafiza Wan Hassan, 45, yang menetap di Kuala Besut, Terengganu memberitahu dia mula menjalankan aktiviti itu sejak beberapa hari lepas bersama dua anaknya.

“Setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh, banyak remis berkumpul di tepi pantai. Jadi, biasanya pada musim inilah kami turun ke pantai mencari remis apabila tidak bekerja.

“Ada kalanya kami dapat mengutip hingga 20 kg, dan biasanya saya bahagi-bahagikan kepada sanak saudara untuk sama-sama menikmati hasil laut ini manakala selebihnya kami jual," katanya kepada Bernama di Pantai Pachakan yang terletak di Pantai Tok Bali baru-baru ini.

Wan Hafiza yang bekerja sebagai pemandu lori memberitahu pelbagai kaedah boleh digunakan untuk mendapatkan remis termasuk menggunakan tudung saji, raga ataupun sejenis alat yang dikenali sebagai pengais.

“Saya lebih suka guna pengais kerana cepat dan mudah. Lagipun jumlah remis yang diperoleh lebih banyak. Bagaimanapun, saya perlu pilih remis yang dikais kerana saya akan lepaskan semula remis bersaiz kecil ke laut dan hanya memilih remis dewasa untuk dibawa pulang,” katanya yang melakukan aktiviti itu sebagai hobi sampingan.

Sementara itu, seorang ibu tunggal Munah Daud, 62, yang menetap di Kampung Pachakan memberitahu aktiviti mencari remis menjadi sumber pendapatannya pada musim tengkujuh kerana moluska dwicengkerang itu mendapat permintaan menggalakkan pada musim itu.

“Biasanya setiap petang, saya dapat kira-kira lima kilogram. Jadi, hasil jualan remis ini dapatlah tampung untuk beli keperluan pada musim tengkujuh,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan