PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, marin, digital tenaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata kerjasama itu juga akan memanfaatkan Grid Tenaga ASEAN bagi menggalakkan pertumbuhan serantau.
“Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam menunjukkan sokongan yang amat baik dan begitu juga dengan pemimpin di Vietnam.
"Oleh itu, kita akan pastikan kita akan memudahkan kerjasama dalam semua bidang iaitu pertahanan, marin, digital dan tenaga menerusi Grid Tenaga ASEAN,” katanya dalam sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Lam menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Menyifatkan lawatan Lam sebagai satu yang bermakna, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia membolehkan kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala ke arah perkongsian strategik lebih menyeluruh.
Anwar berkata Kuala Lumpur juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia dan Vietnam kelapan, pada awal tahun depan yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar kedua-dua negara.
Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka kemungkinan mengadakan usaha bersama dalam industri perikanan, memandangkan kejayaan pihak berkuasa pembangunan bersama antara kedua-dua negara.
Lam dan isteri Ngo Phuong Ly serta delegasinya tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.15 pagi ini.
Beliau kemudiannya diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunias Vietnam pada Ogos tahun ini.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan lawatan rasmi ini akan mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, sama ada dari segi dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik mahupun dalam platrform ASEAN.
Pada 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam ASEAN.
Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.
Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak US$13.1 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial