AM

Lebih 41,000 Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan Setakat 13 Nov Lepas - KDN

21/11/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Seramai 41,073 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap menerusi 17,745 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara, setakat 13 Nov lepas. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam tempoh sama, seramai 1,589 majikan turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Sehingga 31 Okt lepas, bilangan pekerja asing berdaftar di JIM adalah seramai 2,438,468 orang yang bekerja di tujuh sektor utama iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah dan perlombongan serta pengkuarian.

“KDN melalui JIM komited untuk memastikan keselamatan negara diutamakan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah terkini pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin di Malaysia, serta langkah untuk menangani masalah lambakan warga asing yang masuk secara haram.

Saifuddin Nasution berkata sepanjang 2023 hingga 13 Nov lepas, JIM turut melaksanakan 2,762 operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain di seluruh negara dan berjaya menahan seramai 8,812 pendatang asing tanpa izin dan 52 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen .

Beliau berkata antara tindakan yang dilaksanakan untuk mengesan pelawat asing tinggal lebih masa termasuk operasi penguatkuasaan secara berterusan; menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 .

Selain itu, katanya tindakan juga diambil terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing yang tidak sah.

“Sepanjang tahun lepas seramai 27,739 pelawat asing yang ditangkap, ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara manakala sejak 1 Jan hingga 14 Nov lepas seramai 41,234 pendatang tanpa izin telah ditempatkan di depo tahanan imigresen,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan